NUN KECIL PADA KALIMAH (ننجي)
Holy Quran 21:88 ( Surah al- Anbiya)
------------------
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ ۚ وَكَذَٰلِكَ نُنجِي الْمُؤْمِنِينَ
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
Cuba kita perhatian bagaimana al-Quran menulis ننجي dalam ayat 88 surah al- Anbiya’ dimana penulisannya نًجيdan terdapat nun kecil di antara nun dan Jim. Hanya satu saja penulisan sebegini yang terdapat dalam al -Quran. Mengapa? Sila rujuk foto yg disertakan. Dalam ilmu quran ia dipanggil dobt ( Ilmu dobt) iaitu ilmu yg dipakai bagi menanda baris dan menulis huruf quran dalam mushaf Uthmani bagi meraikan kepelbagaian kaedah bacaan ( qiraat) . Yang masyhur ada 10 qiraat yg dibaca dalam alquran. Malaysia membaca dalam qiraat Hafs an ‘Asim mengikut jalur Syatibiy.
Imam Syatibiy (Wafat:590H) dalam nuzum Aqilah menyebut:
"وَنُونُ نُنجِي بِهَا وَالأَنْبِيَا حَذَفُوا..."
Bermaksud: "Nun (yang kedua) pada kalimah (نُنجِي) pada surah Al-Anbiya' dihazafkan ( dihilangkan)..."
Syeikh Abdul Rahman Basiyr khan Al-Makkiy (Hidup sekitar tahun 1343H) dalam karyanya "Afdhal Al-Dirar" (Hlm: 69) dan Ibnu Al-Qaseh (Wafat: selepas 800H) dalam karyanya "Talkhis Al-Fawaid" (Hlm: 61) menyebut bahawa kesemua mushaf Uthmani menulis kalimah (نُنجِي) dengan satu nun (نجي). Iaitu pada ayat 88 Surah Al-Anbiya'.
Al-Daniy (Wafat: 444H) terlebih dahulu menyebut perihal kalimah ini dalam kitabnya "Al-Muqni'" (Hlm: 118) sebagaimana berikut:
حدثنا محمد بن قطن قال: حدثنا سليمان بن خلاد قال: حدثنا اليزيدي قال: (فنجي من نشاء) و (ننجي المؤمنين) هما مكتوبان بنون واحدة.
Bermaksud: "Telah meriwayatkan kepada kami Muhammad Bin Qatn dengan berkata: Telah meriwayatkan kepada kami Sulaiman Bin Khallad dengan berkata: (فنجي من نشاء) dan (ننجي المؤمنين) kedua-duanya ditulis dengan satu nun".
Kesimpulannya, Rasm Al-Quran bagi kalimah tersebut ditulis dengan hanya satu nun bertujuan meraikan dua bacaan Qiraat yang berbeza, sekiranya ditulis dengan dua nun sudah pasti ia akan menafikan Qiraat yang membaca dengan satu nun. Namun, sekiranya ditulis dengan satu nun ianya mampu menerangkan dua wajah bacaan Qiraat secara "ihtimal".
Jadi, kenapa didalam Al-Quran diletakkan nun kecil diatasnya bagi surah Al-Anbiya' saja dan tidak pada surah Yusuf?
Nun kecil tersebut adalah Tanda yang ditulis kemudian oleh ulama Dobtul Quran. Ia merupakan inisiatif yang diambil oleh mereka untuk memberi isyarat kepada pembaca bahawa bacaan yang diambil secara riwayat adalah dengan dua nun (نُنجِي) bagi riwayat kita Hafs.
Imam Al-Syatibiy menyebut dalam Al-Hirz:
وَنُنجِي احْذِفْ وَثَقِّلْ كَذِي صِلاَ...
Qiraat Ibnu Amir dan Riwayat Syukbah membacanya dengan satu nun berbaris hadapan dan jim sabdu berbaris bawah iaitu (نُجِّي). Manakala Qiraat lain termasuk Riwayat kita Hafs membacanya dengan dua nun iaitu Nun pertama baris hadapan dan Nun kedua mati dan Jim berbaris bawah yang mana dibaca secara ikhfa' hakiki bagi pertemuan nun kedua mati dan jim selepasnya.
Oleh kerana Rasmnya ditulis dengan satu nun, maka ulama Dobt meletakkan nun kecil diatasnya untuk memudahkan kita membacanya dengan betul menepati riwayat.
Rasm adalah wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAW, maka penulisannya tidak boleh diubah. Manakala Dobt (tanda) adalah perkara ijtihadi yang datangnya dari ulama berdasarkan kemaslahatannya untuk muslimin keseluruhannya.
Kesimpulannya, kita ( Qiraat Hafs an ‘Asim ) kena baca dengan nun berbunyi “ Nunji” iaitu nun mati berjumpa jim. Hukum Ikhfa’ dengan kadar dengung 1 alif atau 2 harakat. Selamat membaca.
0 comments:
Post a Comment