Pages

Sunday, September 19, 2021

Tumbuhan Bawang Dalam al-Quran . Allium cepa atau Basal / بصل

Nama Saintifik : Allium cepa L. Nama Arab : Basal (بصل ) Nama Inggeris : Onion Nama Hindi : Pyaj Famili : Amaryllidaceae Ayat Quran yang berkaitan dengan bawang merah ialah ayat 61 Surah A-Baqarah yang disebut dengan ‘Basal’, بصل . وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَنْ نَصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَاحِدٍ فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ مِنْ بَقْلِهَا وَقِثَّائِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا ۖ قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ ۚ اهْبِطُوا مِصْرًا فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ ۗ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ Terjemahan: Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh. Komentar daripada beberapa Pentafsir Al-Quran (i) Menurut Tafsir Dur al-Manthur oleh Jalaluddin Al-Suyuti ( 911 H) makna Basal بصل adalah bawang merah (ii) Menurut Tafsir Al- Basith oleh Al-Wahidi (468H) makna Basal بصل adalah bawang merah. (iii) Menurut Tafsir Al-Nukat Wal ‘Uyun oleh Mawardi (450H) juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. (iv) Menurut Tafsir Al-Jalalain oleh Al Muhalli dan Al-Suyuti (911H) juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. (v) Tafsir Al-Qadir oleh Imam Al-Syaukani (1250 H) juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. (vi) Tafsir Al-Quran Al-Azim oleh Ibnu Kasir ( 774H) juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. (vii) Tafsir Fathul Al-Bayan oleh Shodik Hasan Khan ( 1308H) juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. Menurut Hassan Al-Basri Al-Hasan ketika menafsir ayat ini beliau mengatakan bahawa mereka itu adalah orang daun bawang, bawang dan makanan (viii) Menurut Tafsir Jami’ Al-Bayan oleh Ibnu Jarir Al-Thobari 310 H juga menjelaskan bahawa Basal بصل adalah bawang merah. Penerangan Mengenai Nama Saintifik Dalam sistem klasifikasi APG III, genus Allium ditempatkan dalam keluarga Amaryllidaceae, sub-famili Allioideae (sebelumnya keluarga Alliaceae). Dalam beberapa sistem klasifikasi yang sebelumnya, Allium ditempatkan dalam keluarga Liliaceae. Kajian filogenetik molekul menunjukkan bahawa Liliaceae ini bukan monofitik. Allium adalah salah satu genus daripada lima puluh tujuh genera tumbuhan berbunga yang terdiri lebih daripada 500 spesies. Allium merupakan genus terbesar dalam famili Amaryllidaceae. Allium terdiri daripada tumbuhan berbunga monokotilon yang merangkumi bawang, bawang putih, daun bawang, bawang merah, dan daun bawang serta ratusan spesies bawang liar. Nama generik Allium adalah berasal daripada perkataan Latin untuk bawang. Sebahagian maklumat mengapa dinamakan Allium kerana merujuk kepada maksud dalam bahasa Yunani iaitu “untuk mengelak” bau bawang. Sebahagian besar bahan pemakanan untuk memasak menggunakan bahagian tumbuhan bawang untuk pelbagai rasa dan tekstur masakan. Bawang juga dijadikan sebagai tanaman hiasan. Spesies Allium boleh hidup di kawasan iklim sederhana di Hemisfera Utara, kecuali beberapa spesies Allium yang terdapat di Chile seperti Allium juncifolium, di Brazil seperti Allium sellovianum dan di kawasan Afrika yang beriklim tropika seperti Allium spathaceum kurang subur di kawasan iklim sederhana. Bunga-bunganya berbentuk umbel di bahagian atas tangkai tanpa daun. Ukuran bulp antara spesies, dari ukuran kecil (sekitar 2-3 mm diameter) hingga agak besar (8-10 cm). Beberapa spesies seperti Bawang Welsh ( Allium fistulosum) mengembangkan daun-daun yang agak tebal daripada berbentuk mentol. Tumbuhan dari genus Allium menghasilkan sebatian kimia kebanyakannya berasal dari sistein sulfoksida yang memberi kesan rasa dan bau bawang iaitu ‘alliaceous’ . Kebanyakan genus Allium digunakan sebagai bahan makanan, walaupun tidak semua genus Allium mempunyai rasa yang sama. Terdapat lebih kurang 39 spesies Allium yang dikategorikan sebagai spesies yang musahak manakala 6 spesies Allium sebagai yang sangat utama sebagai tanaman yang boleh memberi manfaat ekonomi seperti bawang (Allium cepa), French shallots (Allium oschaninii), Leeks (Allium ampeloprasum), Scallions (Alliums spp.), bawang putih (Allium sativum) dan Chives (Allium schoenoprasum). Spesies bawang boleh didapati diseluruh dunia terutama di India, Pakistan, China, Rusia, Amerika dan Eropah. Sejarah Mengenai Bawang. Banyak ahli arkeologi, ahli botani, dan sejarawan yang bekaitan dengan makanan percaya bahawa bawang berasal dari Asia Tengah. Penyelidikan lain menunjukkan bawang pertama kali ditanam di Iran dan Pakistan Barat. Namun demikian masyarakat di sini telah lama memakan bawang liar sebelum usaha penanaman dibuat. Kemungkinan besar bawang merupakan makanan sayuran sederhana dan makanan utama sejak zaman pra sejarah. Sebilangan besar para penyelidik bersetuju bahawa bawang telah ditanam sejak 5,000 tahun dahulu atau lebih. Sejak bawang tumbuh liar di berbagai wilayah, mereka telah memakan selama ribuan tahun sehinggalah ditanam sdseluruh dunia. Bawang merupakan salah satu tanaman yang paling awal ditanam kerana sifatnya yang tidak cepat mengalami kerosakan berbanding dengan bahan makanan lain serta mudah diangkut serta dapat ditanam dengan pelbagai iklim dan ketinggian tanah. Selain itu, bawang itu ia juga amat diperlukan sebagai sebahagian daripada bahan makanan utama manusia. Bawang juga boleh mencegah rasa haus dan boleh dikeringkan dan disimpan untuk bahan makanana dalam masa yang cukup lama. Terdapat catatan penanaman bawang di negeri Cina yang dirujuk dalam beberapa tulisan Veda tertua dari India, seawal 5,000 tahun yang lalu. Begitu juga di negeri Mesir, tanaman bawang dicatatkan pada 3,500 SM. Teks Sumeria bertarikh sekitar 2500 SM. juga menceritakan tentang seseorang pekerja telah membuat tampalan di kota seorang gabenor menggunakan bawang. Walaupun tempat asal bawang masih lagi tidak dapat dipastikan secara ilmiah namun banyak dokumen sokongan menggambarkan peri pentingnya penggunaan bawang sebagai makanan dan penggunaannya dalam bidang seni, perubatan malah digunakan bagi tujuan pengawetan mumia. Penggunaan Bawang Zaman Mesir Purba Bawang dijadikan sebagai objek pemujaan yang melambangkan keberkekalan bagi mereka yang menguburkan bawang bersama dengan firaun mereka. Orang Mesir melihat keberkekalan kehidupan dengan merujuk kepada sifat anatomi bawang kerana susunan lapisan kulit bawang dalam bentuk lingkaran bulatan. Raja Ramses IV, yang meninggal pada tahun 1150 SM, dimakamkan dengan meletakkan bawang di atas kelopak matanya. Bawang juga sering dijumpai diletakkan di bahagian anggota badan mumia yang lain. Lukisan bawang muncul di dinding dalam piramid dan di makam Kerajaan Lama dan Kerajaan Baru. Bawang disebut sebagai persembahan pengebumian yang digambarkan di letakkan di atas meja perjamuan perayaan besar, dan ditunjukkan di mezbah para dewa. Sejarah Bawang Orang Israel Pada Zaman Alkitab Dalam Bilangan 11: Ayat 5. (Orang Israel berkata “ Kita teringat kepada ikan yang kita makan di Mesir dengan tidak membayar apa-apa, kepada timun dan tembikai, daun bawang, bawang merah dan bawang putih.” [ In Numbers 11:5, the children of Israel lament the meager desert diet enforced by the Exodus: "We remember the fish, which we did eat in Egypt freely, the cucumbers and the melons and the leeks and the onions and the garlic."] Sejarah Bawang Orang India Seawal abad keenam, risalah perubatan cara lama telah menggunakan bawang sebagai ubat - diuretik yang baik untuk pencernaan, jantung, mata, dan sendi. Sejarah Bawang Orang Yunani Abad Pertama Doktor Pedanius Dioscorides (meninggal pada 90 SM) mencatatkan beberapa penggunaan bawang sebagai ubat. Orang Yunani menggunakannya untuk menguatkan fizikal atlet mereka semasa Sukan Olimpik. Sebelum bertanding, atlet mengambil sebiji bawang, minum jus bawang, dan menggosok bawang ke badan mereka. Sejarah Bawang Zaman Awal Empayar Rom Pengarang dan pencinta alam iaitu ‘Pliny the Elder’ ( seorang ahli falsafah bangsa Rom yang hidup pada abad pertama) menulis dalam bukunya ‘Sejarah Alam Pliny’ mengenai bawang dan kubis bangsa Pompeii. Sebelum dia ditangkap dan dibunuh ke dalam panas dan asap gunung berapi, dia membuat katalog kepercayaan Rom tentang keberkesanan bawang untuk menyembuhkan penglihatan, cepat tidur, dan menyembuhkan penyakit seperti luka di bahagian mulut, gigitan anjing, sakit gigi, disentri dan lumbago. Penggali bahan purba kota yang musnah telah menemui kebun sepertimana yang dituliskan oleh Pliny di mana banyak tanaman bawang telah tumbuh. Sejarah Bawang Orang Eropah Masakan Abad Pertengahan kerap menampilkan kacang, kubis, dan bawang. Selain dijadikan makanan untuk orang miskin dan kaya, bawang juga digunakan untuk mengurangkan sakit kepala, gigitan ular dan merawat rambut gugur. Mereka juga menggunakannya sebagai bayaran sewa dan hadiah pernikahan. Sejarah Bawang Orang Asli Amerika Batang-batang bawang liar yang tumbuh di seluruh Amerika Utara, dikumpulkan dan digunakan untuk dimakan secara mentah, dimasak dan sebagai perasa. Orang asli Amerika juga menggunakan bawang dalam minuman sirap, sebagai bahan tampalan , bahan pewarna dan juga sebagai alat mainan. Pengembaraan Pertama ke Amerika Para pengembara membawa bawang bersama mereka di Mayflower untuk ditanam. Mereka tidak tunggu lama untuk menjadikan England sebagai tanaman komersial yang popular dan dipasarkan ke New England. Satu gantang bawang dimasukkan dalam daftar muatan ke atas kapal di Long Island Sound pada tahun 1667 dan lebih banyak lagi didokumentasikan dibawa dalam kapal pada tahun 1718 menuju ke Surinam dan Barbados. Bahagian Yang Digunakan. Bahagian yang digunakan adalah rizom, daun dan biji. Mentol mengandungi minyak yang mudah mengewap dengan unsur-unsur sulfur, termasuk allyl propydisulphide, allicin, allin, flavonoid, phenolic acid, sterols, diphenylamine, protein, karbohidrat, kalsium, zat besi dan vitamin A, B, C. Khasiat bawang merah digunakan untuk perawatan tradisional pelbagai penyakit. Bawang memiliki kandungan minyak atsiri, sikloaliin, metilaliin, dihidroaliin, flavon glikosida, kuersetin, saponin, peptide, fitohormon, vitamin, zat pati. Kandungan sulfida methylallyl dan asid amino sulfur pada bawan memberikan efek penurunan kadar kolesterol jahat (LDL) dalam darah dan peningkatan pada kadar kolesterol baik (HDL). Bawang merah juga menjadi salah satu obat mujarab untuk mengobati pendarahan di hidung dengan cara menghirup hirisan bawang merah saat terjadi pendarahan di hidung. Bagi yang berjerawat, bawang merah boleh gunakan untuk mengatasinya. Kandungan asid dalam bawang memiliki sifat pemutih kulit semulajadi, yang dapat membantu melawan bintik-bintik gelap bekas jerawat yang hitam dan jeragat. Bawang juga boleh merawat kelulumur kerana bahan sulfur yang terkandung di dalamnya memiliki keupayaan untuk meningkatkan peredaran darah dan boleh menguatkan rambut serta boleh mengatasi rambut gugur atau botak. Bawang merah boleh membantu menghalang kanser pada usus dan perut. Pengambilan bawang yang dikaitkan dengan tahap rendah kanser.

0 comments: