Pages

Sunday, September 19, 2021

Mengapa Lafaz Kalimah Allah Dipanjangkan Padahal Tiada Tanda Mad

 MENGAPA LAFAZ KALIMAH 'ALLAH' DIPANJANGKAN PADAHAL TIADA TANDA MAD?


SOALAN : 


Ustaz, saya keliru satu perkara. Selama ini saya memahami, kadar panjang dua harakat akan terjadi pada mad asli secara umum serta perkataan yang bertanda ’alif, wau dan ya’ kecil. 


Soalnya ustaz, mengapa kita memanjangkan lafaz ’Allah’ dalam Al-Quran sedangkan tiada ’alif kecil’ di atas lam & ia bukannya huruf mad?


JAWAPAN : 


Soalan ini kerap ditanya ketika saya mengendalikan kuliah talaqqi Al-Quran kerana jawapannya agak sukar ditemui memandangkan tidak banyak buku tajwid membincangkannya. 


Lafzul Jalalah atau kalimah nama Tuhan, (Allah) dalam Al-Quran ditulis begini. 


 ٱللَّهِ yang mana dalam wuran majid ditulis الله


Huruf lam pada perkataan ini ditanda sabdu serta baris atas.


Jika perkataan ’Allah’ dibaca berdasarkan kefahaman tajwid umum, tidak sepatutnya lam yang bersabdu dipanjangkan 2 harakat. Ini kerana, benar seperti yang diterangkan dalam soalan di atas, panjang 2 harakat hanya wujud pada mad asli (juga beberapa mad lain) serta perkataan yang bertanda alif, wau dan ya’ kecil disampingnya.


Tetapi pada perkataan ’Allah’, tiada huruf mad asli. Tiada juga tanda alif-wau-ya kecil. Soalnya, mengapa kita memanjangkannya? Adakah bacaan kita sekarang menyalahi tajwid?


Bacaan kita tidak salah. Lafzul Jalalah memang dibaca begitu, panjang 2 harakat. Cuma kita yang masih kurang jelas alasan ia dibaca demikian. Sebenarnya ia adalah Mad Asli. Ulama tajwid & para Qurra’ bersepakat untuk tidak meletakkan sebarang petanda mad pada lafaz Allah kerana mereka ingin membezakannya dengan lafaz ’Al-Laat’ (nama tuhan berhala orang kafir) dalam Surah An-Najm, ayat 19 :


اللت


Huruf Lam pada perkataan ini ditanda dengan 'alif kecil' di atsnya. 


Seorang ulama Al-Quran terkemuka, Dr. Muhammad Salim Muhaysin menjelaskan dalam kitabnya, ’Irsyad al-Tolibin ila Dobth al-Kitab al-Mubin’ :


’Walaupun lafaz ini (perkataan ’Al-Laat’) hanya wujud pada satu tempat sahaja dalam Al-Quran, perbezaan penulisan tetap dilakukan dengan meletakkan ’alif kecil’ pada ’Al-Laat’, tetapi tidak meletakkannya pada perkataan ’Allah’. Ini untuk mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul pada kedua-dua bacaan’.


Sekarang kita faham satu perkara : perkataan ’Allah’ tidak diletakkan tanda ’alif kecil’ di atas huruf Lam walaupun bacaannya dipanjangkan 2 harakat. Ia untuk membezakannya secara tulisan dengan perkataan ’Al-Laat’ yang ditandakan ’alif kecil’ di atas huruf Lam-nya.


Soalan seterusnya, mengapa ia dibezakan?


Untuk menjawabnya, kita akan memasuki ruang-lingkup ilmu Qiraat.


Jika bacaan diwaqafkan pada perkataan ’Al-Laat’, kesemua Qurra’ termasuk Qiraat Hafs An’ A’sim yang kita amalkan bersepakat untuk mewaqafkannya dengan Ta’ Maftuhah, sama seperti yang ditulis.  Maka bunyinya begini : ’Afaro’aitumul Laat’ (dengan bunyi huruf ’T’ di hujung).


Tetapi berlainan dengan Qiraat Kisa’ie. Mereka mewaqafkannya dengan bunyi Ta’ marbuthoh (Ta’ simpul). Dalam keadaan ini, bunyinya : ’Afaro’aitumul Laah’.


Jika anda perasan, bunyi yang Qiraat Kisa’ie amalkan ketika waqaf (Al-Laah) lebih kurang sama dengan bunyi perkataan ’Allah’ bukan?


Mungkin ada yang terkeliru menyamakan maksud ’Al-Laat’ dengan ’Allah’ kerana bunyinya hampir sama ketika waqaf (menurut Qiraat Kisa’ie sahaja). Untuk mengelakkan ia berlaku, ulama Al-Quran mengambil inisiatif membezakannya secara penulisan. 


Anda tidak perlu khuatir kerana kita tidak mengamalkan bacaan waqaf sebegitu. Cuma saya terangkannya panjang-lebar agar kefahaman terhadap perkara ini jelas.


Tuhan kita adalah ’Allah’ bukannya ’Al-Laat’, nama berhala dalam ayat 19 Surah Najm di atas.

0 comments: