Sunday, January 30, 2011

Apakah Hukumnya Perniagaan MLM (Multi Level Marketing)

Persoalan : Menjual Produk Secara Langsung Mengikut Sistem Berbagai Peringkat (MLM) (Multi Level Marketing)

Jawapan.

Di Negara kita jualan secara langsung yang melibatkan berbagai-bagai jenis jenama barangan antara jenis jualan yang menarik perhatian masyarakat dan antara yang menghantui masyarakat dari segi harus atau tidak untuk terlibat menjadi agen barangan tersebut. Tidak kurang juga ada pelanggan yang ditipu oleh agen tertentu atas tiket jualan secara langsung ini. Malah ada syarikat jualan secara langsung yang ditipu oleh individu yang mendakwa sebagai ahlinya dan menjual barangan keluarannya tanpa kebenaran daripada syarikat tersebut sendiri. Sebelum membincangkan tentang tajuk ini lebih baik dilihat dahulu apakah yang dinyatakan sebagai jualan langsung berbagai peringkat itu?

Sistem perniagaan MLM dilakukan dengan cara berikut:

  1. Mula-mula pihak perusahaan mencari pelanggan untuk menjadi ahli dengan cara membenarkan ahli tersebut membeli pakej produk perusahaan dengan harga tertentu;
  2. Dengan membeli pakej produk perusahaan tersebut, pelanggan diberi satu borang untuk menjadi ahli perniagaan;
  3. Sesudah menjadi ahli, pelanggan dikehendaki mencari calon ahli baru dengan cara yang sama di atas iaitu membeli produk perusahaan dan mengisi borang keahlian.
  4. Ahli-ahli baru juga mencari calon ahli-ahli baru yang lain dengan cara yang sama seperti di atas.
  5. Jika ahli mampu mencari ahli-ahli baru yang banyak, dia akan mendapat bonus dari perniagaan tersebut. Semakin ramai ahli yang dapat dicari, semakin banyak pula bonus yang akan diperolehi, kerana perniagaan memperolehi untung kerana ramai ahli yang sekaligus menjadi pelanggan produk perniagaan.
  6. Dengan adanya ahli-ahli baru yang sekaligus menjadi pelanggan produk perniagaan, ahli yang berada pada level pertama (member awal/pelopor), kedua dan seterusnya akan selalunya mendapt bonus secara berterusan dari pihak syarikat perniagaan, kerana pihak syarikat memperolehi keuntungan dengan adanya ahli-ahli baru yang sekaligus menjadi pelanggan kepada produk syarikat. Di antara syarikat perniagaan MLM, ada yang melakukan kegiatan mencari dana daripada masyarakat bagi menanam modal di dalam syarikat tersebut, dengan janji akan memberikan keuntungan hampir 100% setiap bulan. Tetapi dari segi amalannya, tidak semua syarikat perniagaan mampu memberikan keuntungan seperti yang dijanjikan, bahkan kadang-kadang menggelapkan dana yang disumbangkan oleh ahli-ahli di dalam syarikat tersebut.

Sila baca dengan tenang dan mohon keridhaan Allah perkara di bawah ini.

Apakah bentuk MLM Yang Haram.

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya iaitu apabila menggunakan sistem berikut:

  1. Harga tinggi dari biasa: ”Menjual produk dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, amat tidak digalakkan di dalam Islam, malah menurut sebahagian ulama, akad seperti ini terbatal kerana mengandungi ’ghabanun fahisy” (penipuan yang terlalu ketara).

  1. Target jualan sebagai syarat komisyen. ”Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat komisyen dari hasil jualan orang bawahnya. Apabila gagal mencapai harga target tersebut keahlian akan hilang atau tiada sebarang komisyen diberikan kepadanya walaupun orang bawahnya menjual begitu banyak produk. Begitu juga sekira ahli disyaratkan membeli pakej yang ditetapkan  barulah mencapai  syarat-syarat yang ditetapkan. Contohnya untuk menjadi sebagai pengedar umpamanya beliau disyaratkan membeli barangan yang ditetapkan dalam bentuk pakej tertentu selain dari membayar yuran ahli. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini menimbulkan masalah dari sudut syariah, kerana wujud unsur kezaliman terhadap selain wujud kewajipan jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta wujud penindasan di sini. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan ’Anda mesti membeli atau ada setengah MLM mensyaratkan agar mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan (ini sebagai contoh) bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan.” (Persoalannya ialah macam mana kalau kita membeli hanya sedikit iaitu tidak mematuhi pakej yang ditawarkan atau penjualan peribadi tidak mencapai syarat minima yang ditetapkan. Maka sudah tentulah komisyen tidak dapat.Inilah yang dikatakan wujudnya unsur paksaan dan kezaliman dalam perniagaan tersebut. Kalau unsur-unsur tersebut wujud patut kita berundur dan mencari perniagaan lain yang mendapat keredhaan Allah. Rezeki luas dan semuanya daripadaNya. Keeberkatan akhirat lebih diperlukan daripada habuan dunia yang fana).

Pada asasnya komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti brokerage fee) sesuatu barangan adalah harus menurut syarak. Ini mengikut pandangan ulama besar seperti Muhammad Ibn Sirin, ’Ata’ bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’i dan lain-lain. Bagaimanapun, komisyen dalam MLM dan sistem piramid ini boleh menjadi haram apabila:

    1. Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan yang dibuat olehnya. Ia menimbulkan masalah dari sudut syarak seperti unsur paksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan ini adalah unsur perjudian.
    2. Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenali, kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angin tanpa sebarang kerja dan usaha. Ia juga boleh diklasifkasikan sebagai broker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal ini berbilangnya rantaian komisyen broker ini, menurut Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Syariah dalam bidang Kewangan Islam Antarabangsa di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan batil selain terdapat unsur judi. Ini kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan, sama ada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang di atasnya.
    3. Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau ”brokerage” (juru jual). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas ’brokerage” tidak harus mensyaratkan jurujual itu untuk membeli untuk diri sendiri, sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ’broker’ atau ’agen’ untuk menjual sendiri dalam jumlah tertentu bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini ’broker’ atau agen menjadi syubhah dan tidak lagi boleh disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima secara sistem Islam.

  1. Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetap tiada sebarang produk diniagakan, perniagaannya hanyalah mencari orang bawahannya (downline). Setiap kali mendapat ahli baru, diberikan beberepa peratus dari yuran ahli tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru, bermakna semakin banyak bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang, untuk mendapat jumlah yang lebih banyak di masa hadapan. Ia merupakan satu bentuk  Riba nasia’ah (riba kerana bertangguh) dan Riba Al-Fadl (riba kerana lebih bayar). Hukum yang sama juga melibatkan perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanya berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer sedangkan harganya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya si ahli bukannya ingin membeli produk itu tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk perusahaan yang diharamkan dan difatwa haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.
  2.  Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barangan haram. MLM sebegini jelas sekali keharamannya.
  3. Terdapat juga unsur mirip ’shafqatain fi shafqah” atau ”bay’atain fi bay’ah” iaitu dua aqad jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Ibnu Mas’ud daripada bapanya ”




L
Ertinya;
“Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad”

Dalam  sebuah hadis lain, yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a :


Ertinya;
“Rasulullah SAW melarang dari terlibat dengan jualan di satu jualan”

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya dengan cara setiap ahli perlu membayar sejumlah wang sebagai yuran. Tidak dapat dipastikan sama ada yuran tersebut untuk membeli kedudukannya di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama dengan termeterainya keahliannya itu, pelanggan akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru. Tindakan MLM seperi ini, termasuk dalam kategori hadis ‘shafaqataian fi shafqah atau bay’atain fi bay’ah  yang diharamkan di atas. Ini kerana pelanggan tersebut dikira melakukan transaksi aqad Mu’awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama termasuk dalam jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjual produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Amalan seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadis di atas.[1]

Akademi Fiqh Islam (Majma’ Fiqh Islami keputusan nombor 3/24, bertarikh 17 Julai 2003) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Bisness yang disifatkan sebagai haram, kerana melibatkan salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan komisyen yang digunakan, adalah komisyen atau upah ‘bokerage’ sebagaimana didakwa. Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa:
“Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan begitulah selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran kepada syarikat dengan jumlah tertentu dengan harapan mendapat bonus. Semakin banyak anggota memasarkan produknya, semakin banyaklah bonus yang dijanjikan. Kebanyakkan anggota MLM yang menyertai cara ini, adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu singkat dan langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian kerana beberapa sebab iaitu:
  1. Angota MLM tidak mahukan produknya , sebaliknya tujuan utamanya untuk menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat, apabila setiap ahli baru menbayar yuran.
  2. Harga produk yang dibeli sebenarnya adalah murah (mungkin tidak sampai 30%) dari wang yang dibayar pada syarikat MLM.
  3. Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada di level atas.


Namun demikian untuk menjadikan MLM itu sebagai halal disarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima syariah berikut dipatuhi iaitu:

  1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lain-lainnya). Justeru itu produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan undang-undang dan hukum syarak. Ia tidak halal. Kekuatan MLM ini ialah kepada produknya yang bermutu dan bukannya kepada objektif jangka pendek untuk mengumpul dana (modal)
  2. Produk bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah riba nasi’ah.
  3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahnnya, mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha. Bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
  4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala’ atau ahli  yang ditaja, tetapi berdasarkan nilai produk yang berjaya dijual. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game)
  5. Tidak diwajibkan kepada ahli menjual tertentu produk bagi memperolehi komisyen dari orang bawahannya.
  6. Setiap ’upline’ atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan  orang bawahannya seperti mengadakan perjumpaan, taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ini perlu bagi melayakkannya menerima komisyen dari sudut syariah. Jika tidak, adalah dibimbangi akan terjerumus kepada ’syubhah’. Ini kerana konsep perniagaan dalam Islam tidak membenarkan keuntungan dari sesuatu  perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru itu, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab untuk mendapatkan hak ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakkan ahli di kaki yang ke 10 ke bawah mungkin tidak mengenaliinya kerana dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak apakah haknya untuk mendapat komisyen yang berangkai dan begitu jauh itu?
  7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala mereka yang masuk kemudian, akan berkurangan. Justeru itu , plan pemasaran mestilah memberi hak kepada semua orang, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila mampu menjual produk dengan lebih hebat.
  8. Memperkenalkan sistem komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas bagi mengelakkan segala jenis penipuan.
  9. Menstruktur plan pemasaran di antara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkongsian untung rugi berdasarakan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Moga-moga Allah menjauhi kita dari sumber yang haram. Telitilah terlebih dahulu ciri-ciri perniagaan tersebut kerana hadis mengatakan terlalu banyak pintu-pintu riba di akhir zaman ini. Wallahu a’lamu.


[1] Hj Zaharudin bi Abd Rahman, Isu Syariah Dalam Perniagaan MLM, www.zaharudin.net,10 April 2007.

Thursday, January 13, 2011

Doa Ketika Sujud

Tajuk : Bacaan Doa Rasulullah SAW Ketika Sujud.


Soalan:

Antara waktu yang paling mustajab bacaan doa ialah ketika dalam sujud sewaktu solat. Apakah bacaan doa Rasulullah ketika sujud?


Jawapan:

Rasulullah SAW dalam sujudnya biasa membaca[1]



bermakna “ Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi”. Bacaan sekurang-kurangnya adalah tiga kali dan yang lebih sempurna adalah sepuluh kali.

dan Nabi SAW bersabda .


bermaksud “ Saat yang paling hampir antara seorang hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa padanya[2]


Dan Sabda Nabi SAW lagi

bermaksud “ Adapun ketika sujud maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa, nescaya dikabulkan bagi kamu[3]





(1) Dan baginda jika sujud beliau berdoa:
G
  
 
“ Ya Allah, untuk-Mu aku bersujud, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah diri, wajahku bersujud kepada Zat yang telah menciptakannya, membentuk rupanya dan yang membelah (memberikan) pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta”[4]
  
2. Baginda juga ada membaca berikut sewaktu sujud:




Ya Allah, berilah ketakwaan kepada jiwaku dan sucikanlah ia, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkau adalah Pelindung dan Pemeliharanya”[5].


Kita sambung di lain waktu untuk bacaan doa Rasulullah dalam sujud yan lain-lain lagi  kerana banyak lagi doa-doa yang terdapat dalam Kitab yang muktabar untuk santapan rohani kita. Insya Allah kita jumpa lagi dan hafallah doa tadi. Mudah-mudahan mendapat limah rahmat dariNya

Sebaik-baik amalan ialah biarlah sedikit tapi buat!

Sila hafal doa-doa tersebut, Ya Akhie….

Sumber : Kitab Fiqhud Dalil oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni
Wallahu ‘alamu. Semoga mendapat faedah daripadanya.


[1] Ditakhrij oleh Muslim (772), Ahmad (22729,22750), Abu Dawud (871) dan selain mereka
[2] Ditakhrij oleh Muslim (482), Ahmad (9165), Abu Dawud (875) dan an-Nasa’i (1137)
[3] Ditakhrij oleh Muslim (479), Ahmad (1903), Abu Dawud (876) dan selain mereka
[4] Ditakhrij oleh Muslim (771), Ahmad (731,805), Abu Dawud (760)  dan selain mereka
[5] Ditakhrij oleh Ahmad (25229). Lihat Kitab Majma’ az-Zawaid (2/127) dan (10/110)
Tajuk : Mengangkat Tangan Ketika Berdoa.


Soalan:

Ketika mengangkat tangan berdoa, manakah yang lebih baik sama ada merapatkan kedua-dua tangan atau merenggangkannya? Ketika memohon doa tolak bala supaya tidak mengenainya dan ketika membaca doa qunut minta supaya dijauhkan daripada keburukan, biasanya tapak tangan diterbalikkan ke bawah manakala belakang tapak tangan dipusingkan ke atas. Berlainan dengan doa memohon sesuatu kebaikan maka dijadikan tapak tangannya ke atas. Adakah disunatkan supaya matanya memandang ke langit atau memandang tapak tangannya?


Jawapan:


Sunat mengangkat kedua-dua tangannya tidak kira sama ada secara merapatkan kedua-duanya atau merenggangkannya. Tetapi setengah ulama berpendapat mengatakan bahawa merapatkan kedua-dua tangan dan sekelian anak jari adalah lebih baik, sama ada dengan cara menegakkan jejari ke atas atau meratakan tapak tangan. Yang lebih afdal semasa berdoa hendaklah matanya memandang ke atas kecuali ketika dalam solat. dan sunat menjadikan belakang tangan ke pihak atas apabila menyebut   G                 

ketika  membaca doa qunut sahaja sepertimana yang difatwakan oleh Syeikh Ramli Kabir, ringkasan daripada Hasyiah Sulaiman Jamal.

Tidak ada nas yang mengharuskan seseorang itu meletakkan tangan ke mulutnya atau meletakkan kedua-dua tangannya di atas lututnya ketika berdoa kerana perbuatan seperti itu menunjukkan seolah-olah tidak ada kesungguhan dalam doa dan permohonan.

Sumber : Furu’ Al Masail, muka surat 267-268
Wallahu ‘alamu. Semoga mendapat faedah daripadanya.