Nama Sebenar Tongkat ali
Nama saintifik Tongkat ali ialah Eurycoma spp. Di Malaysia terdapat dua spesies utama iaitu Eurycoma longifolia dan Eurycoma apiculata. Nama lain bagi Eurycoma longifolia ialah Eurycoma latifolia, Eurycoma longifolia var.cochinchinensis, Eurycoma merguensis dan Eurycoma tavoyana. Manakala terdapat satu lagi spesies iaitu Eurycoma harmandiana atau nama Thai sebagai “Ian-don”. Juga dikenali sebagai Tongkat gunung yang boleh ditemui di persekitaran 300m atas paras laut di kawasan Timur Thailand terutama di Korat, Kemboja dan Laos dan berkemungkinan di pergunungan Annam. Bentuk daunnya panjang dan bujur.
Nama asal bagi Eurycoma spp. sepertimana yang terdapat dalam buku Pocket Check List of Timber (Terbitan pertama, 1952, Revised kedua 1962 dan Edisi Ketiga 1979.) ialah Penawar Pahit. Manakala dalam Buku Tree Flora of Malaya A Manual For Foresters Volume two TC Whitmore. Malayan Forest Record No 26. 1972 juga dikenali sebagai penawar pahit. Dalam Buku Order dan Famili Tumbuhan Berbiji Di Tanah Melayu oleh Hsuan Keng, terjemahan Ahmad bin Mahmud DBP 1986, Eurycoma longifolia dinamakan dengan Kayu pahit.
Nama tempatan lain bagi Eurycoma apiculata sepertimana yang terdapat dalam Buku Tumbuhan Ubatan Malaysia Suntingan kamarudin Mat Salleh dan A. Latif UKM 2001, ialah Segentar bumi daun lebar, Setunjang bumi, Akar pakar, Penggering (Temuan), Therung (Temiar), Jelai (Semai). Manakala nama tempatan lain bagi Eurycoma longifolia Penawar putih, Setunjang bumi daun halus, Pakau, Pasak bumi, Gertak bumi, Sengkayap, Kebing, Penawar pahit (Semelai), Penggering ( Temuan), Therung (Temiar), Marataya (Iban), Petagar beruang (Iban). Nama lain bagi Eurycoma spp. ialah Pasak Bumi, Payong Ali, Tongkat Baginda, Muntah Bumi, Petala Bumi, Hempedu Pahit, Penawar Pahit, Penawar Bias, Bedara Merah, Bidara Laut, Babi Kurus, cay ba binh (Vietnam), Tho Banh (Laos) dan LongJack (English).
Dari mana datangnya nama Tongkat ali.
Mengikut kajian Tumbuhan dari Perspektif Antropologi oleh Aishah Haji Muhamad dan A. Aziz Bidin, nama ali yang dikaitkan dengan Eurycoma spp adalah datangnya daripada seorang bomoh di Pulau Tioman yang dikaitkan dengan Sayyidina Ali. Sayyidina Ali dikatakan sebagai seorang yang kuat sehingga pepatah melayu mengatakan ‘Gagah Ali gagah Musa”. Terdapat banyak pokok yang bernama Ali dalam masyarakat Melayu seperti Tongkat ali, misai Ali, janggut Ali, payung Ali, pedang Ali dan saidina Ali yang semuanya itu dikaitkan dengan nama Sayyidina Ali sempena kekuatan fizikal khususnya semasa peperangan. Manakala pokok yang mengaitkan dengan kesuburan wanita serta kecantikan, kesucian dan perhiasan di kaitkan dengan Siti Fatimah seperti Kacip Fatimah, Rumput Fatimah. Fatimah adalah anak nabi yang dikatakan mempunyai ciri-ciri kebaikan serta cantik rupa parasnya.
Dalam perubatan melayu, akar ini digunakan sebagai ramuan ubat periuk untuk kesihatan. Dukun melayu mempercayai ubat periuk yang dicampur dengan tongkat Ali, Misai Ali (Themeda arguens), Janggut Ali, Kacip Fatimah (Labisia pumila) akan memberikan kesihatan tubuh badan dan peredaran darah yang baik khususnya untuk tenaga batin. Lalu beberapa dukun melayu menamakan ramuan ubat periuk yang dipercayai boleh memulihkan tenaga batin dikaitkan dengan nama ali seperti Tongkat ali, Misai Ali, Janggut Ali, Payung Ali, Pedang Ali dan Saidina Ali. Nama-nama ini merupakan nama panggilan yang diletakkan oleh dukun melayu dan sehingga kini ia popular dengan nama tersebut.
Cuma yang menjadi persolannya ialah ada segelintir penceramah agama yang terkenal di Malaysia cuba mengaitkan nama Ali dan Fatimah dalam penamaan nama ubatan dengan mengaitkan pengaruh syiah dalam alam melayu. Ini merupakan satu rekaan pembohongan baru oleh penceramah tersebut. Beliau cuba mencipta satu cerita yang difikirkan munasabah bagi mengaitkan nama Ali dan Fatimah dalam ajaran Syiah. Manakala ada juga ustaz yang lain cuba mengaitkan Sayyidina Ali yang dikatakan mempunyai keupayaan tenaga batin yang tinggi dengan membawa hadis berikut:
.
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”
Hadis ini merupakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dan ada juga mereka membawa hadis berikut:
.
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَاسْتَحْيَيْتُ أَنْ أَسْأَلَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بن الأسود فَسَأَلَهُ فَقَالَ: فِيهِ الْوُضُوءُ، وَلِمُسْلِمٍ: يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ
Maksudnya: “Aku seorang yang selalu keluar mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad menanyakannya. Baginda menjawab: Dia hendaklah berwudhu’. Dalam riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh zakarnya dan berwudhu’.”
. Hadis sahih riwayat Abu Daud.
Mengikut Ustaz Azhar Idrus, hadis tersebut menunjukkan bahawa Sayyidina Ali mempunyai sejenis penyakit iaitu beliau sering keluar air mazi. Antara punca keluarnya air mazi ialah kerana mengidap penyakit. Sayyidina Ali agak malu untuk bertanya secara langsung kepada Rasulullah saw tentang penyakitnya itu kerana Siti Fatimah adalah isterinya. Lalu beliau menyuruh sahabatnya bernama Miqdad al Aswad ra untuk bertanya soalan tersebut kepada Rasulullah saw.
Oleh itu, adalah kurang wajar dan tidak tepat sama sekali bagi setengah-setengah ustaz cuba mengaitkan nama Tongkat ali dan Kacip Fatimah sebagai penularan pengaruh Syiah dalam masyarakat melayu serta penafsiran hadis di atas yang dikaitkan dengan rangsangan seksual.
Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancutkan air mani, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama. Wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali R.anhu di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku telah menceritakan perkara ini kepada Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Apabila kamu mendapati air mani yang keluar dari kemaluan kamu maka diwajibkan kepada kamu mandi.”
Riwayat Abi Daud (206)
Sehubungan dengan itu, air mazi menurut istilah fiqh pula adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat.
(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)
Manakala Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan.
(Rujuk: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)
Berhubung dengan perkara ini, jelas bahawa air mazi merupakan najis mutawassitah seperti bangkai, arak, air kencing dan tahi yang perlu di bersihkan dengan air yang suci sehingga hilang bau rasa dan warna. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Nabi SAW:
عَنْ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ، قَالَ كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ " إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ " . فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ " يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ
Maksudnya: “Sahl bin Hunaif berkata, "Saya merasa letih dan susah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “Cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan mazi yang terkena pada pakaian saya? Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang engkau lihat pada bahagian yang terkena itu”.
Riwayat al-Tirmizi (115)
Kenyataan di atas jelaslah bahawa air mazi yang keluar wajib dibersihkan dengan air secukupnya. Kerana ia dianggap sebagai najis. Pakaian, tempat tidur yang terkena air mazi wajib dibersihkan dengan cara yang betul.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, air mazi yang keluar adalah najis. Apabila terkena pada pakaian, selimut atau seumpamanya maka wajib dibersihkan. Sekiranya air mazi itu sedikit dan sukar untuk dijaga maka dimaafkan. Namun, sekiranya ia banyak maka wajib untuk dibersihkan. Semoga kita sentiasa dalam keadaan bersih dari kekotoran najis.
WaAllahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment