Pages

Sunday, September 19, 2021

Pisang gergasi ( Musa ingens) Talh طلح

 Pisang Gergasi  Di Dunia.


Pokok Pisang Gergasi Yang Terbesar Di Dunia.

Pernahkah kita melihat pokok pisang gergasi yang tingginya seakan-akan pokok kelapa? Pokok pisang mempunyai lebih kurang   70 spesies  di dunia dan nama saintifiknya adalah ‘musa’. Musa adalah nama genus. Pokok pisang yang terbesar di dunia adalah Musa  ingens . Ketinggian pokok ini boleh mencecah sehingga ketinggian 20m hingga 25m sedangkan untuk ketinggian pokok pisang biasa lebih kurang 2-5m sahaja. Bunganya boleh mengeluarkan sehingga 300 biji buah . Buahnya ada mengandungi biji kehitaman dan isinya boleh dimakan. Pisang ini adalah pisang yang terbesar di dunia dan ditemui di Pergunungan Arfak yang mempunyai ketinggian 1,350-1,800 m atas paras laut yang terletak di  Papua Barat. Pisang ini  seolah-olah hybrid dengan satu lagi spesies yang terdapat di Afrika yang mampu mengeluarkan buah sepanjang 2 kaki (60cm) walaupun purata panjang umumnya antara 12-14 inci (32 cm). Ahli Botani pertama yang menamakan dengan ‘Musa’ ialah Carl Linnaeus dalam tahun 1753. Beliau dilahirkan pada 23 Mei 1707 dan meninggal pada 10 Januari 1778 ( 70 tahun) . Beliau berbangsa Sweden. Beliau juga orang yang pertama memberikan nama saintifik mengikut Penamaan Binomial ( Binomial nomenclature). Panjang daun pokok pisang ini pula boleh mencecah 5m dan lebarnya pula 1m. Memang sesuai dipanggil pisang gergasi. Manakala dalam setandan pisang boleh mencecah berat sehingga 60kg dan 15m panjang.


Adakah Pokok Pisang dinyatakan dalam al-Quran?


Pokok pisang ada juga dinyatakan di dalam al-Quran Surah al-Waqiah ayat 29 (56:29) :  وطلح منضود bermakna “ Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya”. Walau bagaimanapun para ahli tafsir berbeza pendapat dengan makna tersebut. Saya cuba membawa beberapa tafsir al-Quran mengenai ayat tersebut. 


Pertama  Tafsir Fathul Bayan oleh Sideq Hasan (1307H)

قال أكثر المفسرين: إن الطلح في الآية هو شجر الموز، وقال جماعة ليس هو شجر الموز ولكنه الطلح المعروف وهو أعظم أشجار العرب. وقال الفراء وأبو عبيدة: هو شجر عظام لها شوك، وقيل: هو شجر له ظل بارد طيب

“Sebilangan besar ahli tafsir mengatakan: ‘Talh’ dalam ayat itu adalah pokok pisang, dan sebahagian mufassirin mengatakan bahawa  ia  bukan pokok pisang, tetapi spesies ‘Acacia’ yang sedia maklum oleh orang arab (pohon yang mengeluarkan ‘manna’) .  Telah berkata Al-Farra dan Abu Ubaidah  ia adalah  pohon kayu yang mempunyai duri, dan dikatakan juga sejenis pohon yang memiliki keteduhan sejuk yang baik. “


Tafsir Kedua Tafsir Bahrul ‘ulum karangan Samarqandi (373H) 

قال: وَطَلْحٍ مَنْضُودٍ وقال مقاتل: يعني: الموز المتراكم بعضه على بعض. وقال قتادة: هو الموز، وهذا روي عن ابن عباس

Telah berkata Muqatil, ayat tersebut merujuk kepada pokok pisang . Begitu juga Qatadah mengatakan ia merujuk kepada pokok pisang yang bersusun buahnya antara satu sama lain sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas ra.


Tafsir Ketiga iaitu Tafsir Al-Quran al-Karim oleh Maulana Abdullah Yusuf Ali menafsirkan  perkataan طَلْحٍ kepada dua makna iaitu pisang dan pokok Acacia yang boleh mengeluarkan gam arab الطلح العربي . Beliau lebih kepada Acacia berdasarkan pokok pisang bukannnya berasal dari Negara arab. 


Semuga kita sentiasa ingat dengan anugerah Ilahi yang tidak terhitung banyaknya. Sekurangnya-kurangnya kita ingat  cerita ini semasa kita makan pisang goreng.





0 comments: