Benar Kayu Kokka Banyak Khasiat Dan Barakah?.
Sejarah Kayu Kokka
Kayu Kokka memang wujud dan ia adalah nama tempatan bagi sejenis pokok palma yang terdapat di Lembah Amazon khususnya di Brazil, Colombia dan Argentina yang dipanggil ‘Coquilla nut’ atau nama tempatan kōkē´yə, kōkēl´yə yang bermakna little coconut dan dipanggil dengan nama ‘Kokka’ sebagai bahasa perniagaan sekarang. Wanita-wanita pendaam Brazil menggunakan tempurung buah pokok Kokka untuk dijadikan barangan cenderamata termasuk rantai leher wanita yang sangat menarik dan cantik. Manik-manik tempurung yang dibuat dalam bentuk bulatan juga serupa dengan buah tasbih yang diikat dileher wanita di Brasil.
Dalam masyarakat Islam pula, terdapat cerita israiliyyat mengenai tongkat Nabi Musa, tongkat Nabi Syuib dan perahu Nabi Nuh. Untuk mewujudkan keajaiban dan strategi perniagaan mereka, khususnya keunikan dan kecantikan manik-manik bulat kayu kokka yang dijadikan buah tasbih dengan mengaitkan peristiwa mukjizat nabi musa, nabi Syuib dan nabi Nuh dengan mengatakan bahawa manik-manik bulat tersebut adalah berasal dari kayu yang dijadikan tongkat nabi musa, tongkat nabi syuib dan kayu perahu nabi Nuh lalu mereka menamakan kayu tersebut dengan kayu Kokka. Untuk menambah halwa penceritaan mereka mengatakan bahawa Kayu Kokka merupakan ciptaan Allah SWT yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan. Kayu Kokka terdapat padanya pelbagai rahsia dan kelebihan sebagai penawar, penyembuh dan pelindung. Apatah lagi jika diguna pakai dalam bentuk tasbih dan cincin. Kayu Kokka juga boleh menjadi lebih tinggi harga dan nilainya dari masa ke semasa . Ceritanya ditambah lagi dengan mengatakan Kayu koka didapati dari pokok kokka di dalam hutan dara di Negara Arab, Turki, Nigeria, Iran, Mesir, dan Afghanistan. Pokok Kokka merupakan tumbuhan hutan bersifat perrenial (tahunan) dan hidup secara meliar. Namun demikian, terdapat usaha dari Negara-Negara Arab menanam pokok kokka sebagai satu industri pertanian untuk membekalkan kayu kokka yang kini mendapat tempat di pasaran dunia. Walaubagaimanapun, kayu kokka yang terdapat di pasaran sekarang kebanyakannya diambil dari buah kokka yang terdapat di Lembah Amazon sperti Brazil, Colombia dan Agentina. Mereka menambah lagi halwa cerita dengan mengatakan bahawa kayu kokka mempunyai banyak kelebihannya sejak zaman dahulu lagi dan telah digunakan oleh para nabi sebagai bukti kekuasaan Allah S.W.T di dalam memberikan perlindungan dan penawar kepada manusia. Kayu kokka dipercayai dapat menghalau makhluk halus yang jahat, menghalang dari sihir, melindungi diri dari kekejaman musuh dan banyak lagi.
Sebagai seorang yang mempunyai sedikit asas ilmu perhutanan dan asas botani, saya mula mencari nama-nama yang dikaitkan dengan kayu Kokka termasuk dalam bahasa tempatan di dunia serta nama saintifik. Malang sekali sehingga kini belum lagi menemui nama-nama panggilan Kokka yang mempunyai cirri-ciri dalam pembuatan perahu besar Nabi Nuh dan keunikan tongkat nabi Musa dan nabi Syuib. Saya membayangkan kokka adalah pohon kayu yang besar dimana mampu dibuat perahu nabi nuh dan buah atau terasnya boleh dijadikan tasbih yang cantik manakala ranting pokok ini boleh dibuat tongkat sepertimana tongkat Nabi Musa dan Tongkat Nabi Syuib. Saya terus mencari cirri-ciri pokok ini dan ada di antara mereka sanggup meletakkan gambar pokok Baobab di Afrika dengan menamakan pokok Kokka untuk justifikasi cerita mereka. Ini cerita sudah koyak. #ceritakoyak. Sebenarnya usaha mencari jawapan kayu kokka ini juga telah dibuat seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa seperti Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj. Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka. Mereka menemui ianya berasal dari pokok spesies pokok palma. Mereka juga mendapati bahawa ada sebutan yang hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” Menurut Dr. Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea funifera’. Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan. Hasil penyelidikan mereka juga mendapati bahawa pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar. Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia. Dr. Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.
Pencarian saya sudah mencapai noktah kerana penemuan saya adalah sama dengan penemuan pasukan penyelidikan yang dijalankan dimana kayu kokka tersebut adalah dari tempurung buah spesies pokok palma dari Famili Arecaceae terutama dari spesies Attalea funifera yang terdapat di Brazil dan Attalea cohume yang terdapat di Turki. Terdapat sebanyak 67 spesies Attalea di seluruh dunia dan spesies ini berasal dari kawasan hutan amazon khususnya dari Brasil, Colombia dan Argentina. Penghasilan utama bagi spesies Attalea funicera adalah untuk mengeluarkankan minyak . Kalaudi Malaysia, rupa pokok Attalaea spp. adalah lebih kurang pokok kabung atau enau atau anau yang banyak terdapat di negeri Sembilan yang mana digunakan untuk penghasilan nira kabung dan buahnya dijadikan makanan yang enak khususnya di bulan Ramadhan.
Bagaimana penceritaan penjual Kayu Kokka.
Mereka telah mengatakan bahawa pada tahun 1987- 1989 Dr. Untoro dari Fakultas MIPA UGM Yogyakarta telah melakukan penelitian terhadap Kayu Kauka/Kokka dan menemui bahawa kayu kauka/ kokka/ fuqoha memancarkan energi metafisika yang besarnya 2 kali ganda berbanding batu permata. Jika energi yang terdapat pada batu permata pada level 50, energi yang terdapat pada kayu kauka/ kaukah/ kokka mencapai level 100
Akhbar di Malaysia juga telah melapurkan bahawa Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.
Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.
“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan. “Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya. Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar. Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya. “Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa menghadkan penjualan. “Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu. Saya dapati buku tersebut diterbitkan oleh sebuah Pustaka yang agak terkenal di Malaysia.
Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini. Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.
“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.
“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya. Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli. Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.
Kajian yang dibuat dalam tahun 2003 hingga 2013 iaitu selama 10 tahun mendapati bahawa sebanyak RM8.1 juta telah mengalir ke tangan penjual kokka ydan lebur sebegitu saja gara-gara cerita yang dibuat oleh penjual kokka. Sehingga kini penjualan kayu kokka diteruskan dengan nilai purata juaan setahun adalah RM 1 juta setahun. Pusat jualan kayu Kokka adalah di Kuala Lumpur khususnya di sekitar Masjid India dan kedai jualan tasbih. Peminat Kokka bukan mudah untuk diberi kefahaman . Betul apa kata Imam Syafie “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.
Imam Syafi’ berkata : “ Apabila orang-orang bodoh mengajak berdebat dengan anda, maka sikap yang terbaik adalah diam". Namun demikian, tidak boleh dinafikan juga, manik-manik bulat tasbih kayu kokka memang cantik dan berkilat. Tetapi peminat kayu kokka merasa puas dapat memilikinya kerana mereka menyangka banyak khasiat malah cantik lagi. Mereka berbangga dapat menunjukkan buah tasbih kayu kokka. Sejujurnya saya sanggup membeli tasbih kayu kokka dalam lingkungan RM 10.00 sahaja kerana kecantikan manic-manik bulatnya saja.
0 comments:
Post a Comment