Pages

Sunday, December 26, 2010

Perbuatan Jahat dan Baik Manusia

TAJUK : ASAL PERBUATAN JAHAT DAN BAIK MANUSIA

Soalan :  Firman Allah berbunyi





Maksudnya : dan Allah yang telah menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan ( Surah al-Safat 37 : 96)

Difahamkan daripada ayat ini, semua perbuatan manusia termasuk segala tutur katanya adalah daripada Allah SWT. kalau begitu, adakah perbuatan keji dan tutur kata yang dusta itu juga semuanya daripada Allah ?. Di dalam ayat lain juga Allah berfirman yang bermaksud;







Maksudnya : Dan Allah yang menciptakan segala sesuatu (Surah al –An’am 6:101)

Ada pendapat lain pula mengatakan bahawa setiap kata-kata yang dusta dan perbuatan yang keji itu adalah daripada manusia itu sendiri, dan bukan daripada Allah. Adakah pendapat ini benar?

Jawapan:

Sesungguhnya segala perbuatan hamba itu adalah makhluk bagi Allah, kerana Allah itu bersifat wujud iaitu ada dan Dia yang mengadakan sesuatu yang asalnya tiada. Allah jua yang mencipta manusia dan apa jua yang manusia lakukan.  Begitu juga  makhluk yang bernama haiwan, Allah juga yang menciptakan.


Mengenai ketaatan seorang hamba, ia juga berlaku dengan kehendak Allah menerusi Qadak dan QadarNya, kerana Allah amat suka dan reda kepada ketaatan. Dia juga yang memerintahkan manusia supaya taat. Begitu juga tentang perlakuan maksiat dan kufur yang dilakukan oleh seorang hamba. Ia juga berlaku dengan kehendak dan iradat Allah SWT, tetapi perbuatan itu amat dibenciNya dan tidak diperintahkan supaya melakukannya dan sememangnya tidak disukaiNya.

Adapun segala perbuatan yang mungkar, walaupun dianggap sebagai makhluk bagi Allah tetapi tidak seharusnya dikaitkan dengan Allah SWT. Demi untuk menjaga peradaban , jangan sekali-kali mengatakan bahawa segala yang keji dan mungkar serta setiap yang kufur itu kehendak Allah SWT atau dengan mengatakan bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.

Begitu juga percakapan seperti menyebut nama babi, monyet dan seumpamanya , jangan sekali-kali dikaitkan dengan nama Allah, tetapi kita boleh mengatakan bahawa Allah SWT yang menciptakan segala makhluk haiwan seperti babi dan monyet, tidak akan wujud semua makhluk-makhluk ini melainkan dengan kehendak dan IradatNya jua.

Kita boleh mengatakan Allah SWT memiliki segala yang wujud di tujuh petala langit dan segala apa yang ada di perut bumi, tetapi kita tidak boleh berkata Allah memiliki anak-anak kerana kata-kata seperti itu akan memberi tanggapan negatif terhadap Allah SWT, demikian pendapat Imam Ghazali daripada golongan Ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar-benarnya.

Wallahu A’lamu.

Sumber: Kitab Furu’ Masail.




0 comments: