Pages

Sunday, December 26, 2010

Kitab Mun-Yatul Mushalli Dan Furu' Al-Masail karangan Sheikh Daud Al Fatani

PENGAJIAN KITAB MIN YATUL MUSALLI (Pengajian 1)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 
Wahai anak-anak ku. Inilah pengajian yang Abah sajikan kepada kamu semua sepertimana Abah telah mengaji dengan Ayah Abah (Ayah Leh) sewaktu kecil-kecil dulu. Abah dengan rendah diri menulis semula Kitab Mun Yatul Mushalli dan beberapa huraian yang Abah catit sewaktu pembelajaran dulu. Abah masih tergiang dan masih teringat bagaimana tekunnya Ayah Leh mengajar sekali sekala dengan senyumannya dan Abahlah orang yang paling hampir dengan nya. Diwaktu itulah Abah orang yang mula-mula bertanya kepada Ayah Leh  beberapa soalan dan mungkin soalan tersebut merupakan soalan keanak-anakan. Namun begitu, biarlah wahai anak-anak ku, baca dan telitilah hasyiah ini dan doakan kepada diri Abah dan semua keluarga termasuk diri sendiri mudah-mudahan dicucuri keimanan yang sebenar kepadanya khususnya dalam menjalani ibadat seharian.

Sedikit Latar belakang Tok Sheikh Daud Al Fatani.

Kitab Mun-Yatul Musalli adalah satu karya Syeikh Daud Bin Abdullah al Fathani yang paling banyak diajar oleh Tok Guru pondok khususnya dalam memperkenalkan pengetahuan sembahyang. Hampir semua rumah penduduk di Sumatera, Kalimantan, Malaysia dan Fathani memiliki dan mempelajati Kitab ini. Mengikut catatan, Syeikh Daud Al Fatani lahir pada 1133H (ada yang kata 1153H atau 1183H). Mengikut tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hamid Bin Hj Abdul Qadir as Senawi yang berasal dari Telok Manuk, Naratiwat, beliau mengatakan bahawa “ Tok Sheikh Daud ini sangat mustajab doanya dan panjang umurnya iaitu 166 tahun. Beliau telahpun dikuburkan di Taif  berjiran dengan Sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah Bin Abbas Khairul Ummah. Tok Syeikh Daud juga adalah sahabat dengan Sheikh Abdul Samad al Falimbani  dan Sheikh Muhammad Arsyad al Banjari (lahir pada 1122H dan wafat pada 1227H)

Tok Sheikh Daud memulakan Kitabnya dengan




“Ku Mulai risalah ini dengan Nama Allah yang amat murah lagi amat mengasihani akan hambaNya yang Mukmin di dalam akhirat.

Huraiannya :

Saya cenderung memberi makna rahman itu pemurah. Kalau seseorang itu memberi atas dasar pemurah, tidak semestinya dia kasih. Kadang-kadang orang pemurah itu, kalau ada orang yang susah, biasanya dia memberi kepada orang susah itu lebih banyak daripada dia memberi kepada orang yang dia kasih. Mungkin orang yang dia kasih itu sudah senang maka dia tidak perlu beri banyak. Tetapi orang yang dia tidak kasih itu susah, maka dia beri lebih atas dasar dia pemurah. Beri atas dasar pemurah, bukan semestinya kasih atau sayang. Sebab itu Tuhan buat dua nama. (Rahman dan Rahim) Kalau maksudnya sama, kenapa Tuhan sebut dua. Mengapa tidak sebut 'bismillahirrahman' sahaja atau 'bismillahirrahim" sahaja. Rupanya Tuhan beri nikmat kepada makhluknya ada dua kategori, sama ada nikmat lahiriah, maknawiah atau nikmat rohaniah, iaitu:

1. Atas dasar pemurahnya Tuhan; dan
2. Atas dasar kasih sayangnya Tuhan
1. Pemberian Tuhan pada manusia kerana pemurahnya Tuhan : Bagi orang jahat atau orang kafir, Tuhan beri nikmat atas dasar pemurah bukan atas dasar rahmat tapi atas dasar istidraj.( kalau dalam istilah Bahasa Kelantan , beri dengan mencak iaitu pemberian ..)  Kadang-kadang Tuhan beri lebih banyak kepada orang kafir daripada orang Islam seperti banyak harta, banyak ilmu dan kuasa. Ini supaya nanti di Akhirat adillah mereka menerima bala yang lebih dahsyat. Seorang yang apabila diberi sedikit, maka dosanya di atas yang sedikit itu dan bila diberi banyak, maka dosanya di atas yang banyak itu. Oleh kerana dia orang jahat, tentu dia akan salah gunakan nikmat itu. Ertinya dengan nikmat itu Tuhan hendak tambahkan bala dan azab kepada orang itu di Akhirat.
Rupanya dari kenyataan ini, apabila Tuhan beri sedikit atas dasar pemurah kepada orang jahat, walaupun lahirnya atas dasar istidraj, tetapi di situ ada rahmat Tuhan. Apabila dia diberi sedikit maka dosa orang itu di atas yang sedikit tadi. Ternyata dalam pemberian Tuhan pada manusia kalaulah manusia fahami maka kita akan sedar bahawa dalam hikmah ada hikmah. Dalam rahsia ada rahsia. Maha Besar Tuhan, Tuhan beri sedikit pada orang jahat atas dasar pemurah itu rupanya ada rahmat. Oleh kerana dia jahat, kalau diberi banyak maka akan banyak lagi dia terlajak dan lebih berat lagi dia akan menanggung dosa di Akhirat kelak. Dalam jahat itu ada rahmat juga yakni supaya dia tidak teruk sangat di Akhirat. Yang dapat banyak, tandanya Tuhan sudah marah sangat dan dia akan parah di Akhirat. Jadi, bila Tuhan beri kerana marah, itu pun masih ada kasih sayang dan rahmat. Selain itu, apabila pemberian itu atas dasar pemurah, side effectnya banyak. Di situ ada istidraj. Misalnya, kalau kita kaya, mungkin banyak penyakit, hidup dalam ketakutan kerana ada sahaja orang yang hendak bunuh, hendak tembak, hendak kidnap. Kalau berkuasa pula, rakyat benci. Terpaksalah dijaga oleh pengawal berlapis-lapis. Apalah seronoknya berjalan dalam keadaan dikawal. Mana lebih seronok, bebas berjalan seorang diri ke sana ke mari dengan penuh rasa selamat atau kita berjalan dengan dikawal berlapis-lapis. Kalau ramai orang, tentu perasaan terasa rimas dan lemas. Bagi yang ingin rileks sahaja, tentu suka jalan seorang dan rasa selamat. Indahnya kalau pemimpin begitu. Oleh itu, kalau Tuhan beri atas dasar kasih sayang, dapat sedikit pun tidak mengapa. Kalau Tuhan beri atas dasar pemurah tetapi istidraj, nahaslah. Kalau tidak di dunia, jangka panjangnya akan berlaku di Akhirat.
Kenapa orang jahat pun Tuhan beri, atas dasar pemurah?
a. Di dalam Al Quran, Tuhan sudah berjanji dengan diri-Nya dan Dia tidak akan mungkir janji. Tuhan sudah berjanji pada azali lagi, selagi makhluk-Nya hidup, Dia jamin makan minumnya. Sekalipun pada orang jahat, Allah jamin rezekinya. Begitulah Tuhan kalau sudah berjanji pada diri-Nya. Perkara ini kita susah hendak buat. Kita bohong dengan orang dan bohong dengan diri sendiri. Katalah kita niat hendak sembahyang malam lebih sedikit tetapi setelah empat rakaat, sudah rasa tidak larat. Padahal sudah janji malam tadi hendak sembahyang lebih. Janji dengan diri pun tidak boleh ditunaikan. Apatah lagi janji dengan orang.
.
b. Selain itu, Tuhan menganggap dunia ini tiada nilainya maka Tuhan beri pada orang kafir atas dasar pemurah-Nya. Dalam satu Hadis Qudsi Tuhan menyebut:
"Kalaulah dunia ini ada nilainya setimbang sebelah sayap nyamuk pun, maka orang kafir tidak akan dapat makan." Bagi Tuhan, dunia ini langsung tidak ada nilai walau sebesar sayap nyamuk. Dunia ini walaupun besar, ada emas, ada timah, ada berlian, ada Jepun, Amerika dan Eropah tetapi Tuhan beritahu kita, seluruhnya itu kalau hendak dibandingkan dengan sebelah sayap nyamuk pun tidak ada nilainya. Kalau dunia ini ada nilai sekalipun hanya sekadar senilai sebelah sayap nyamuk, pasti Tuhan tidak akan beri kepada orang kafir dan orang jahat. Maka sebab itulah nabi-nabi dan rasul menghayati perkataan 'arrahmanir rahim' itu. Mereka bangga dan rasa indah dengan miskin sebab mereka tahu Tuhan hendak kayakan mereka di Akhirat. Bagi mereka dunia tiada harga langsung, walaupun seharga sebelah sayap nyamuk. Macam kita pandang pasir itu tidak ada harga. Ambillah siapa yang mahu, ia menyusahkan sahaja.
Jadi Tuhan beri itu atas dasar janji. Atas dasar rahmat Rasulullah yang mana tidak dijadikan dunia kalau bukan atas dasar Nur Muhammad. Dunia tidak ada harga. Sebab itu orang-orang jahat dapat lebih dari orang baik. Tapi kalau orang itu tidak baik sangat, dia risau mengapa dia susah. Kalau Tuhan balikkan nanti, beri banyak, dia tidak tahan akhirnya dia dapat nikmat yang banyak itu bukan dari kategori kasih sayang tetapi atas dasar pemurahnya Tuhan sahaja, lagi malanglah ia.
2. Pemberian Tuhan pada manusia kerana kasih sayang-Nya
Kalau Dia beri nikmat itu atas kasih sayang, maka ia selamat lagi menyelamatkan.
Kalau Dia beri atas dasar pemurah, maka ia berisiko sedikit kerana tidak ada rahmat. Mengapakah Tuhan beri lebih kepada orang kafir atau fasik sedangkan kepada orang baik itu, atas dasar kasih sayang, diberi-Nya sedikit? Di sini ada rahsia Tuhan. Ada rahmat dalam rahmat. Kepada orang yang Dia kasih, pemberian itu dalam rahmat.
Kemudian seorang itu diberi sedikit, atas dasar kasih sayang, seolah Tuhan tidak sayang.
Kita tidak faham Tuhan sepertimana anak kita tidak faham kita. Bila kita beri sedikit, anak kita anggap kita tidak sayang, padahal kita hendak didik dia agar tidak rosak.
Atas dasar kasih sayang kepada orang-orang yang paling Tuhan sayang iaitu para rasul, Dia beri nikmat sedikit tetapi banyak ujian kesusahan. Di sini ada nikmat dalam nikmat. Dia beri sedikit tanda Dia kasih. Rupanya Dia beri sedikit itu ada kasih sayang besar yang akan berlaku di Akhirat. Sebab kalau beri banyak di sini, akan dapat sedikit di Akhirat.
Dia beri sedikit di sini sebab dunia ini tidak bernilai dan tiada guna. Tuhan hendak beri banyak pada kekasih-Nya di Akhirat. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Kalau orang faham maksud Tuhan beri sedikit di dunia kerana hendak beri banyak di Akhirat, maka orang itu akan rasa Tuhan sayang padanya.
Wahai anak-anak ku. Amatilah betul-betul dan ambil fahamlah. Begitulah kuliah agama yang Abah dengar dan catit dari Arwah Ayah Leh dulu. Abah rasa sebak semasa menaip ni. Ikhlasnya dia mengajar, biasanya sampai jam 11.00 malam baru habis dan lepas tu orang ajak makan malam pula. Abah terinagt gulai telor itik warna kuning tu.. sedap makan malam tu. Abah ni tumpang sekaki saja.
Kita sambung lagi.
Wahai anak-anak ku. Kalau mereka tidak faham, mereka anggap kita tidak sayang, maka jadi masalah. Sebab itu minda dan ilmu mesti diberi kepada anak didik kita.
Pada orang baik yang Tuhan beri dengan kasih sa
yang. Makin sedikit diberi, makin Tuhan sayang. Kalau orang baik diberi banyak, Tuhan kurang sayang. Tuhan sayang dia sebab dia baik tetapi sayang itu sedikit. Sungguh perkara yang kita lihat dengan akal seolah terbalik. Orang yang baik sangat, Tuhan beri sedikit, tetapi Tuhan sayang banyak. Orang yang baik, bila Tuhan beri banyak, ertinya sayang Tuhan padanya sedikit. Begitulah pentadbiran Tuhan. Begitulah sistem pemberian nikmat Tuhan. Wallahu A’lamu.

Kemudian, Tok Sheikh mengatakan:

”Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu di mana inilah jalan-jalan segala orang yang muttaqin”

”Dan Tuhan  yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala Mursalin, yakni dijadikan sejuk mata hati Nabi SAW dengan mushahadah akan tuhannya di dalam sembahyangnya.

Dan menjadikan padanya lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hambaNya yang muhibbin. Dan tempat galian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah bagi orang yang ’asyiqin iaitu rindu mereka itu akan mahbubnya ( orang yang dicintainya iaitu Allah SWT). (maknanya Allah menjadikan sembahyang itu sebagai satu amalan yang akan melahirkan rasa manis dan lazat di mana ganjaran syurga adalah kepada hambanya yang bersifat dengan muhibbin iaitu kasih dan cinta kepada Allah selalu. Sembahyang juga merupakan sebagi tempat munajat atau juga sebagai tempat menggali segala rahsia Allah yang hanya akan dapat dirasai oleh orang-orang yang asyiqin kepada Nya sahaja.)


Dan rahmat Allah dan SalamNya atas penghulu kita Nabi Muhammad SAW pesuruh tuhan sekelian alam dan yang memberi syafaat ia akan segala orang yang berdosa pada hari kiamat. Dan atas segala keluarganya segala sahabat dan segala ikutannya dariapada anak buahnya yang suci mereka itu.



Rahmat dan salamNya yang berkekalan kedua-duanya (iaitu kepada Nabi Muhammad dan para-para sahabat nya) hingga hari kiamat. dan adapun kemudian dari itu, akan ketahui olehnya hai segala orang yang Muslimin telah memberi faham akan kami dan akan kamu oleh Allah SWT dan mengilhamkan kamu sehingga kamu cerdik dan dilindungi dari kejahaan diri kita. Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama Islam dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah shahadat. dan tempatnya daripada agama Islam seperti kepala daripada tubuh. Maka seperti bahawasanya tiada hidup bagi orang yang tiada kepala baginya. Maka demikianlah tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang baginya. Demikian telah datang pada beberapa hadis Nabi SAW.

Maka Allah SWT menjadikan kami dan akan kamu daripada orang yang memeliharakan atas sembahyang yang lima waktu dan orang yang muqim (orang yang mendiri dan memeliharakan sembahyang) bagi sembahyang yakni mendirikan dan memeliharakan dia. Lagi orang yang khushuk  padanya, yakni tetap hatinya dan anggotanya dalam sembahyang. Lagi yang mengekalkan atas sembahyang yakni tiap-tiap mencita-cita ia hendak mengerjakan sembahyang yang keduanya, demikianlah selama-lamanya.
Maka dengan demikian itulah menyuruh Allah SWT akan segala hamba-hambaNya yang mukmin di dalam Kitab Nya dan dengan dia memperikan sifat mereka itu. Maka  firmanNya’  Peliharakan oleh kamu hai orang Mukmin atas sembahyang yang lima waktu dan memliharakan sembahyang Wustha dan akan berdiri kamu bagi Allah SWT mengerjakan kamu akan taat”.

Wahai anak-anak ku , inilah sebagai permulaanya pembukaan kata Kitab Mun Yatul Mussali dan InsyaAllah kita akan sama-sama mengikutinya secara terperinci dengan secara perlahan-lahan nanti. Yang panjang ni kerana pembukaan sahaja. Jumpa lagi dalam pelajaran ke 2 nanti.

1 comments:

umi~wannza said...

Assalamualaikum abah...

Sungguh syahdu umi membaca mukaddimah pengajian kitab Min Yatul Musalli ini. Tanpa sedar air mata menitis, sebak melimpah2. Kenagan abah dengan arwah ayah leh bagai terbayang di dpn mata.
umi imagin abah spt watak anak dlm cerita 'nujum pak belalang' hehe..sedap makan gulai telor itik dgn arwah ayah leh lps ngajar tu...biarlah sejarah berulang antara abah dgn idi pula...Insyaallah!

Yang paling meresap ke hati umi ialah pengertian Pemurah & Pengasih...benarlah spt yg trtulis...

"Kita tidak faham TUHAN sepertimana ANAK tidak faham kita."

kata-kata ini amat sayu dan bermakna bagi umi.
tak sabar nak ikuti pengajian abah seterusnya. umi tak akan ketinggalan mengikutinya.


Terima kasih.