PANDANGAN SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU AL BANJARI AL MAKKI MENGENAI BERAMAL DENGAN SYARIAT DAN HAKIKAT ASYA’IRAH
Dewasa ini tasawuf sering dizalimi dan mendapat pelbagai tohmahan. Hanya segelintir sahaja yang mampu meneliti secara adil. Bahkan sikap keterlaluan dan biadab setengah mereka, telah sanggup menjadikan tasawuf sebahagian daripada sifat-sifat tercela dan dicaci. Dengan sebabnya boleh menggugurkan kelayakan seseorang untuk menjadi saksi dan menghilangkan sifat ‘adalah (tidak fasiq). Sehingga apabila dipersoalkan, kenapa? Maka dijawabnya : “Kerana beliau seorang Ahli Sufi”. Apa yang pelik dan menghairankan ialah apabila kita perhatikan terdapat segelintir golongan yang mencela tasawuf , jelas menentang, malah bermusuhan terhadap pengamalnya dan juga yang sering mengingkarinya, mereka ini telah melakukan perkara yang dilakukan oleh ahli Tasawuf. Setelah itu tanpa segan silu telah memetik ungkapan kata-kata tokoh sufi di dalam ucapan dan khutbah mereka di atas mimbar Jumaat serta halakah pengajian. Ada yang dengan penuh bangga dan angkuh berucap; “Berkata al-Fudhail bin ‘Iyadh, berkata al-Junaid, berkata Hasan al-Basri, berkata Sahl al-Tustari, berkata al-Muhasibi dan berkata Bishru al-Hafi.” Kesemua mereka itu merupakan imam-imam, paksi, tiang, tonggak dan binaan tasawuf. Kitab-kitab tasawuf dipenuhi dengan ucapan-ucapan, kisah-kisah, moral dan kesempurnaan mereka. Saya tidak pasti adakah dia tidak mengetahui dan sengaja berpura-pura tidak tahu, buta atau sengaja memejamkan mata?
Di sini suka saya menukilkan ucapan para ulama yang merupakan tiang tasawuf dan ahlinya. Saya ingin membawa ucapan mereka tentang syariat Islam, supaya kita mengetahui pendirian mereka sebenar. Ini kerana semestinya untuk mengenali seseorang tidak boleh tidak kecuali dari dirinya sendiri. Manusia itu sendiri merupakan sebaik-baik orang yang menjelaskan pandangannya sendiri dan yang paling dipercayai di dalam menjelaskan apa yang terkandung di dalam hatinya.
Al-Imam Al-Junaid RA pernah berkata “ Semua jalan menuju Allah ditutup dari pengetahuan semua makhluk melainkan mereka yang mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW menuruti sunnahnya dan beristiqamah berada di jalankan. Ini kerana jalan-jalan kebaikan itu kesemuanya terbuka kepada Baginda, mereka yang mengikut dan menurut jejak langkah Baginda SAW.
Diriwayatkan bahawa Abu Yazid al-Bisthoni quddusullah pernah suatu ketika berkata kepada para sahabatnya:”Ayuh! Mari kita semua pergi melihat hal keadaan si fulan yang mengisytiharkan dirinya sebagai wali.’ Beliau berkata lagi:”Setelah sampai, kami dapati si fulan tersebut sedang menuju ke masjid sambil meludah ke arah kiblat. Maka Abu Yazid pun berpaling daripada lelaki tersebut dan tidak memberi salam kepadanya seraya berkata;’Si fulan ini bukanlah manusia yang boleh dipercayai dalam mengamalkan adab-adab yang diajar oleh Rasulullah SAW, bagaimana dia boleh dipercayai dengan dakwaan yang telah mencapai martabat kewalian dan siddiq”…… bersambung.
0 comments:
Post a Comment