Pages

Sunday, December 26, 2010

Perbuatan Jahat dan Baik Manusia

TAJUK : ASAL PERBUATAN JAHAT DAN BAIK MANUSIA

Soalan :  Firman Allah berbunyi





Maksudnya : dan Allah yang telah menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan ( Surah al-Safat 37 : 96)

Difahamkan daripada ayat ini, semua perbuatan manusia termasuk segala tutur katanya adalah daripada Allah SWT. kalau begitu, adakah perbuatan keji dan tutur kata yang dusta itu juga semuanya daripada Allah ?. Di dalam ayat lain juga Allah berfirman yang bermaksud;







Maksudnya : Dan Allah yang menciptakan segala sesuatu (Surah al –An’am 6:101)

Ada pendapat lain pula mengatakan bahawa setiap kata-kata yang dusta dan perbuatan yang keji itu adalah daripada manusia itu sendiri, dan bukan daripada Allah. Adakah pendapat ini benar?

Jawapan:

Sesungguhnya segala perbuatan hamba itu adalah makhluk bagi Allah, kerana Allah itu bersifat wujud iaitu ada dan Dia yang mengadakan sesuatu yang asalnya tiada. Allah jua yang mencipta manusia dan apa jua yang manusia lakukan.  Begitu juga  makhluk yang bernama haiwan, Allah juga yang menciptakan.


Mengenai ketaatan seorang hamba, ia juga berlaku dengan kehendak Allah menerusi Qadak dan QadarNya, kerana Allah amat suka dan reda kepada ketaatan. Dia juga yang memerintahkan manusia supaya taat. Begitu juga tentang perlakuan maksiat dan kufur yang dilakukan oleh seorang hamba. Ia juga berlaku dengan kehendak dan iradat Allah SWT, tetapi perbuatan itu amat dibenciNya dan tidak diperintahkan supaya melakukannya dan sememangnya tidak disukaiNya.

Adapun segala perbuatan yang mungkar, walaupun dianggap sebagai makhluk bagi Allah tetapi tidak seharusnya dikaitkan dengan Allah SWT. Demi untuk menjaga peradaban , jangan sekali-kali mengatakan bahawa segala yang keji dan mungkar serta setiap yang kufur itu kehendak Allah SWT atau dengan mengatakan bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.

Begitu juga percakapan seperti menyebut nama babi, monyet dan seumpamanya , jangan sekali-kali dikaitkan dengan nama Allah, tetapi kita boleh mengatakan bahawa Allah SWT yang menciptakan segala makhluk haiwan seperti babi dan monyet, tidak akan wujud semua makhluk-makhluk ini melainkan dengan kehendak dan IradatNya jua.

Kita boleh mengatakan Allah SWT memiliki segala yang wujud di tujuh petala langit dan segala apa yang ada di perut bumi, tetapi kita tidak boleh berkata Allah memiliki anak-anak kerana kata-kata seperti itu akan memberi tanggapan negatif terhadap Allah SWT, demikian pendapat Imam Ghazali daripada golongan Ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar-benarnya.

Wallahu A’lamu.

Sumber: Kitab Furu’ Masail.




Kitab Mun-Yatul Mushalli Dan Furu' Al-Masail karangan Sheikh Daud Al Fatani

PENGAJIAN KITAB MIN YATUL MUSALLI (Pengajian 1)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 
Wahai anak-anak ku. Inilah pengajian yang Abah sajikan kepada kamu semua sepertimana Abah telah mengaji dengan Ayah Abah (Ayah Leh) sewaktu kecil-kecil dulu. Abah dengan rendah diri menulis semula Kitab Mun Yatul Mushalli dan beberapa huraian yang Abah catit sewaktu pembelajaran dulu. Abah masih tergiang dan masih teringat bagaimana tekunnya Ayah Leh mengajar sekali sekala dengan senyumannya dan Abahlah orang yang paling hampir dengan nya. Diwaktu itulah Abah orang yang mula-mula bertanya kepada Ayah Leh  beberapa soalan dan mungkin soalan tersebut merupakan soalan keanak-anakan. Namun begitu, biarlah wahai anak-anak ku, baca dan telitilah hasyiah ini dan doakan kepada diri Abah dan semua keluarga termasuk diri sendiri mudah-mudahan dicucuri keimanan yang sebenar kepadanya khususnya dalam menjalani ibadat seharian.

Sedikit Latar belakang Tok Sheikh Daud Al Fatani.

Kitab Mun-Yatul Musalli adalah satu karya Syeikh Daud Bin Abdullah al Fathani yang paling banyak diajar oleh Tok Guru pondok khususnya dalam memperkenalkan pengetahuan sembahyang. Hampir semua rumah penduduk di Sumatera, Kalimantan, Malaysia dan Fathani memiliki dan mempelajati Kitab ini. Mengikut catatan, Syeikh Daud Al Fatani lahir pada 1133H (ada yang kata 1153H atau 1183H). Mengikut tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hamid Bin Hj Abdul Qadir as Senawi yang berasal dari Telok Manuk, Naratiwat, beliau mengatakan bahawa “ Tok Sheikh Daud ini sangat mustajab doanya dan panjang umurnya iaitu 166 tahun. Beliau telahpun dikuburkan di Taif  berjiran dengan Sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah Bin Abbas Khairul Ummah. Tok Syeikh Daud juga adalah sahabat dengan Sheikh Abdul Samad al Falimbani  dan Sheikh Muhammad Arsyad al Banjari (lahir pada 1122H dan wafat pada 1227H)

Tok Sheikh Daud memulakan Kitabnya dengan




“Ku Mulai risalah ini dengan Nama Allah yang amat murah lagi amat mengasihani akan hambaNya yang Mukmin di dalam akhirat.

Huraiannya :

Saya cenderung memberi makna rahman itu pemurah. Kalau seseorang itu memberi atas dasar pemurah, tidak semestinya dia kasih. Kadang-kadang orang pemurah itu, kalau ada orang yang susah, biasanya dia memberi kepada orang susah itu lebih banyak daripada dia memberi kepada orang yang dia kasih. Mungkin orang yang dia kasih itu sudah senang maka dia tidak perlu beri banyak. Tetapi orang yang dia tidak kasih itu susah, maka dia beri lebih atas dasar dia pemurah. Beri atas dasar pemurah, bukan semestinya kasih atau sayang. Sebab itu Tuhan buat dua nama. (Rahman dan Rahim) Kalau maksudnya sama, kenapa Tuhan sebut dua. Mengapa tidak sebut 'bismillahirrahman' sahaja atau 'bismillahirrahim" sahaja. Rupanya Tuhan beri nikmat kepada makhluknya ada dua kategori, sama ada nikmat lahiriah, maknawiah atau nikmat rohaniah, iaitu:

1. Atas dasar pemurahnya Tuhan; dan
2. Atas dasar kasih sayangnya Tuhan
1. Pemberian Tuhan pada manusia kerana pemurahnya Tuhan : Bagi orang jahat atau orang kafir, Tuhan beri nikmat atas dasar pemurah bukan atas dasar rahmat tapi atas dasar istidraj.( kalau dalam istilah Bahasa Kelantan , beri dengan mencak iaitu pemberian ..)  Kadang-kadang Tuhan beri lebih banyak kepada orang kafir daripada orang Islam seperti banyak harta, banyak ilmu dan kuasa. Ini supaya nanti di Akhirat adillah mereka menerima bala yang lebih dahsyat. Seorang yang apabila diberi sedikit, maka dosanya di atas yang sedikit itu dan bila diberi banyak, maka dosanya di atas yang banyak itu. Oleh kerana dia orang jahat, tentu dia akan salah gunakan nikmat itu. Ertinya dengan nikmat itu Tuhan hendak tambahkan bala dan azab kepada orang itu di Akhirat.
Rupanya dari kenyataan ini, apabila Tuhan beri sedikit atas dasar pemurah kepada orang jahat, walaupun lahirnya atas dasar istidraj, tetapi di situ ada rahmat Tuhan. Apabila dia diberi sedikit maka dosa orang itu di atas yang sedikit tadi. Ternyata dalam pemberian Tuhan pada manusia kalaulah manusia fahami maka kita akan sedar bahawa dalam hikmah ada hikmah. Dalam rahsia ada rahsia. Maha Besar Tuhan, Tuhan beri sedikit pada orang jahat atas dasar pemurah itu rupanya ada rahmat. Oleh kerana dia jahat, kalau diberi banyak maka akan banyak lagi dia terlajak dan lebih berat lagi dia akan menanggung dosa di Akhirat kelak. Dalam jahat itu ada rahmat juga yakni supaya dia tidak teruk sangat di Akhirat. Yang dapat banyak, tandanya Tuhan sudah marah sangat dan dia akan parah di Akhirat. Jadi, bila Tuhan beri kerana marah, itu pun masih ada kasih sayang dan rahmat. Selain itu, apabila pemberian itu atas dasar pemurah, side effectnya banyak. Di situ ada istidraj. Misalnya, kalau kita kaya, mungkin banyak penyakit, hidup dalam ketakutan kerana ada sahaja orang yang hendak bunuh, hendak tembak, hendak kidnap. Kalau berkuasa pula, rakyat benci. Terpaksalah dijaga oleh pengawal berlapis-lapis. Apalah seronoknya berjalan dalam keadaan dikawal. Mana lebih seronok, bebas berjalan seorang diri ke sana ke mari dengan penuh rasa selamat atau kita berjalan dengan dikawal berlapis-lapis. Kalau ramai orang, tentu perasaan terasa rimas dan lemas. Bagi yang ingin rileks sahaja, tentu suka jalan seorang dan rasa selamat. Indahnya kalau pemimpin begitu. Oleh itu, kalau Tuhan beri atas dasar kasih sayang, dapat sedikit pun tidak mengapa. Kalau Tuhan beri atas dasar pemurah tetapi istidraj, nahaslah. Kalau tidak di dunia, jangka panjangnya akan berlaku di Akhirat.
Kenapa orang jahat pun Tuhan beri, atas dasar pemurah?
a. Di dalam Al Quran, Tuhan sudah berjanji dengan diri-Nya dan Dia tidak akan mungkir janji. Tuhan sudah berjanji pada azali lagi, selagi makhluk-Nya hidup, Dia jamin makan minumnya. Sekalipun pada orang jahat, Allah jamin rezekinya. Begitulah Tuhan kalau sudah berjanji pada diri-Nya. Perkara ini kita susah hendak buat. Kita bohong dengan orang dan bohong dengan diri sendiri. Katalah kita niat hendak sembahyang malam lebih sedikit tetapi setelah empat rakaat, sudah rasa tidak larat. Padahal sudah janji malam tadi hendak sembahyang lebih. Janji dengan diri pun tidak boleh ditunaikan. Apatah lagi janji dengan orang.
.
b. Selain itu, Tuhan menganggap dunia ini tiada nilainya maka Tuhan beri pada orang kafir atas dasar pemurah-Nya. Dalam satu Hadis Qudsi Tuhan menyebut:
"Kalaulah dunia ini ada nilainya setimbang sebelah sayap nyamuk pun, maka orang kafir tidak akan dapat makan." Bagi Tuhan, dunia ini langsung tidak ada nilai walau sebesar sayap nyamuk. Dunia ini walaupun besar, ada emas, ada timah, ada berlian, ada Jepun, Amerika dan Eropah tetapi Tuhan beritahu kita, seluruhnya itu kalau hendak dibandingkan dengan sebelah sayap nyamuk pun tidak ada nilainya. Kalau dunia ini ada nilai sekalipun hanya sekadar senilai sebelah sayap nyamuk, pasti Tuhan tidak akan beri kepada orang kafir dan orang jahat. Maka sebab itulah nabi-nabi dan rasul menghayati perkataan 'arrahmanir rahim' itu. Mereka bangga dan rasa indah dengan miskin sebab mereka tahu Tuhan hendak kayakan mereka di Akhirat. Bagi mereka dunia tiada harga langsung, walaupun seharga sebelah sayap nyamuk. Macam kita pandang pasir itu tidak ada harga. Ambillah siapa yang mahu, ia menyusahkan sahaja.
Jadi Tuhan beri itu atas dasar janji. Atas dasar rahmat Rasulullah yang mana tidak dijadikan dunia kalau bukan atas dasar Nur Muhammad. Dunia tidak ada harga. Sebab itu orang-orang jahat dapat lebih dari orang baik. Tapi kalau orang itu tidak baik sangat, dia risau mengapa dia susah. Kalau Tuhan balikkan nanti, beri banyak, dia tidak tahan akhirnya dia dapat nikmat yang banyak itu bukan dari kategori kasih sayang tetapi atas dasar pemurahnya Tuhan sahaja, lagi malanglah ia.
2. Pemberian Tuhan pada manusia kerana kasih sayang-Nya
Kalau Dia beri nikmat itu atas kasih sayang, maka ia selamat lagi menyelamatkan.
Kalau Dia beri atas dasar pemurah, maka ia berisiko sedikit kerana tidak ada rahmat. Mengapakah Tuhan beri lebih kepada orang kafir atau fasik sedangkan kepada orang baik itu, atas dasar kasih sayang, diberi-Nya sedikit? Di sini ada rahsia Tuhan. Ada rahmat dalam rahmat. Kepada orang yang Dia kasih, pemberian itu dalam rahmat.
Kemudian seorang itu diberi sedikit, atas dasar kasih sayang, seolah Tuhan tidak sayang.
Kita tidak faham Tuhan sepertimana anak kita tidak faham kita. Bila kita beri sedikit, anak kita anggap kita tidak sayang, padahal kita hendak didik dia agar tidak rosak.
Atas dasar kasih sayang kepada orang-orang yang paling Tuhan sayang iaitu para rasul, Dia beri nikmat sedikit tetapi banyak ujian kesusahan. Di sini ada nikmat dalam nikmat. Dia beri sedikit tanda Dia kasih. Rupanya Dia beri sedikit itu ada kasih sayang besar yang akan berlaku di Akhirat. Sebab kalau beri banyak di sini, akan dapat sedikit di Akhirat.
Dia beri sedikit di sini sebab dunia ini tidak bernilai dan tiada guna. Tuhan hendak beri banyak pada kekasih-Nya di Akhirat. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Kalau orang faham maksud Tuhan beri sedikit di dunia kerana hendak beri banyak di Akhirat, maka orang itu akan rasa Tuhan sayang padanya.
Wahai anak-anak ku. Amatilah betul-betul dan ambil fahamlah. Begitulah kuliah agama yang Abah dengar dan catit dari Arwah Ayah Leh dulu. Abah rasa sebak semasa menaip ni. Ikhlasnya dia mengajar, biasanya sampai jam 11.00 malam baru habis dan lepas tu orang ajak makan malam pula. Abah terinagt gulai telor itik warna kuning tu.. sedap makan malam tu. Abah ni tumpang sekaki saja.
Kita sambung lagi.
Wahai anak-anak ku. Kalau mereka tidak faham, mereka anggap kita tidak sayang, maka jadi masalah. Sebab itu minda dan ilmu mesti diberi kepada anak didik kita.
Pada orang baik yang Tuhan beri dengan kasih sa
yang. Makin sedikit diberi, makin Tuhan sayang. Kalau orang baik diberi banyak, Tuhan kurang sayang. Tuhan sayang dia sebab dia baik tetapi sayang itu sedikit. Sungguh perkara yang kita lihat dengan akal seolah terbalik. Orang yang baik sangat, Tuhan beri sedikit, tetapi Tuhan sayang banyak. Orang yang baik, bila Tuhan beri banyak, ertinya sayang Tuhan padanya sedikit. Begitulah pentadbiran Tuhan. Begitulah sistem pemberian nikmat Tuhan. Wallahu A’lamu.

Kemudian, Tok Sheikh mengatakan:

”Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu di mana inilah jalan-jalan segala orang yang muttaqin”

”Dan Tuhan  yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala Mursalin, yakni dijadikan sejuk mata hati Nabi SAW dengan mushahadah akan tuhannya di dalam sembahyangnya.

Dan menjadikan padanya lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hambaNya yang muhibbin. Dan tempat galian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah bagi orang yang ’asyiqin iaitu rindu mereka itu akan mahbubnya ( orang yang dicintainya iaitu Allah SWT). (maknanya Allah menjadikan sembahyang itu sebagai satu amalan yang akan melahirkan rasa manis dan lazat di mana ganjaran syurga adalah kepada hambanya yang bersifat dengan muhibbin iaitu kasih dan cinta kepada Allah selalu. Sembahyang juga merupakan sebagi tempat munajat atau juga sebagai tempat menggali segala rahsia Allah yang hanya akan dapat dirasai oleh orang-orang yang asyiqin kepada Nya sahaja.)


Dan rahmat Allah dan SalamNya atas penghulu kita Nabi Muhammad SAW pesuruh tuhan sekelian alam dan yang memberi syafaat ia akan segala orang yang berdosa pada hari kiamat. Dan atas segala keluarganya segala sahabat dan segala ikutannya dariapada anak buahnya yang suci mereka itu.



Rahmat dan salamNya yang berkekalan kedua-duanya (iaitu kepada Nabi Muhammad dan para-para sahabat nya) hingga hari kiamat. dan adapun kemudian dari itu, akan ketahui olehnya hai segala orang yang Muslimin telah memberi faham akan kami dan akan kamu oleh Allah SWT dan mengilhamkan kamu sehingga kamu cerdik dan dilindungi dari kejahaan diri kita. Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama Islam dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah shahadat. dan tempatnya daripada agama Islam seperti kepala daripada tubuh. Maka seperti bahawasanya tiada hidup bagi orang yang tiada kepala baginya. Maka demikianlah tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang baginya. Demikian telah datang pada beberapa hadis Nabi SAW.

Maka Allah SWT menjadikan kami dan akan kamu daripada orang yang memeliharakan atas sembahyang yang lima waktu dan orang yang muqim (orang yang mendiri dan memeliharakan sembahyang) bagi sembahyang yakni mendirikan dan memeliharakan dia. Lagi orang yang khushuk  padanya, yakni tetap hatinya dan anggotanya dalam sembahyang. Lagi yang mengekalkan atas sembahyang yakni tiap-tiap mencita-cita ia hendak mengerjakan sembahyang yang keduanya, demikianlah selama-lamanya.
Maka dengan demikian itulah menyuruh Allah SWT akan segala hamba-hambaNya yang mukmin di dalam Kitab Nya dan dengan dia memperikan sifat mereka itu. Maka  firmanNya’  Peliharakan oleh kamu hai orang Mukmin atas sembahyang yang lima waktu dan memliharakan sembahyang Wustha dan akan berdiri kamu bagi Allah SWT mengerjakan kamu akan taat”.

Wahai anak-anak ku , inilah sebagai permulaanya pembukaan kata Kitab Mun Yatul Mussali dan InsyaAllah kita akan sama-sama mengikutinya secara terperinci dengan secara perlahan-lahan nanti. Yang panjang ni kerana pembukaan sahaja. Jumpa lagi dalam pelajaran ke 2 nanti.

Saturday, December 25, 2010

Asal usul Bunga Raya dan Kekuatan Air Kejadian Tuhan


 Sejarah Bunga Raya.
Nama Saintifik: Hibiscus rosasinensis
Famili : Malvaceae

Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu (Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan. Hibiscus rosa-sinensis  juga dikenali sebagai Chinese hibiscus, China rose dan shoe flower yang berasal dari Timur Asia dan bukannya berasal dari Malaysia. Ia terletak dalam Famili Malvaceae.
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Keagungan Sifat Air.
Air mempunyai sejumlah sifat-sifat fizikal yang sangat sesuai untuk kehidupan. salah satunya ialah tekanan permukaan air yang sangat tinggi. Tekanan permukaan didefinisikan sebagai satu perilaku permukaan satu cecair yang besar untuk bertindak seperti satu kulit yang anjal di bawah tekanan. Ia disebabkan oleh tenaga tarikan di antara molekul-molekul dalam permukaan cecair. Contoh terbaik kesan tekanan permukaan boleh dilihat pada air. Tekanan permukaan air adalah sangat tinggi sehinggakan beberapa fenomena fizik ganjil terjadi disebabkan olehnya. Satu cawan boleh menampung air sedikit lebih tinggi daripada ketinggiannya tanpa tumpah.
Tekanan permukaan air adalah jauh lebih tinggi daripada mana-mana cecair lain yang dikenali. Beberapa kesan biologinya adalah sangat penting yang nampak jelas pada tumbuh-tumbuhan. Pernahkah kita terfikir bagaimana tumbuh-tumbuhan dapat membawa air daripada kedalaman tanah yang bermeter-meter ke udara tanpa pam, otot-otot atau seumpama dengannya. Jawapan kepada soalan ini ialah tekanan permukaan. saluran-saluran di dalam akar dan batang tumbuhan disekat untuk memanfaatkan tekanan permukaan air yang tinggi. Saluran-saluran ini menjadi bertambah sempit apabila ia semakin tinggi dan menyebabkan air ‘menjalar’ dengan sendirinya.
Apa yang memungkinkan rekaan cemerlang Allah ini ialah tekanan permukaan air yang tinggi. Jika permukaan air lebih rendah seperti kebanyakkan cecair-cecair lain, secara fisiologinya adalah mustahil untuk tumbuh-tumbuhan yang besar seperti pokok-pokok untuk hidup di tanah kering.
Kesan penting lain dariada tekanan permukaan iar yang tinggi adalah memecah batu. Kerana tekanan permukaanya adalah sangat tinggi air dapat menyerap masuk ke ruang-ruang batu yang paling dalam melalui rekahan -rekahan yang paling seni ketika air membeku apabila suhu turun ke paras beku. Pengembangan inilah yang menyebabkan batu akhirnya pecah.
Semua cecair mempunyai kadar perbezaan kepekatannya. Air adalah 10 juta kali lebih cair daripada tar, 1,000 kali lebih cair daripada gleserin, 100 kali lebih cair dari minyak zaitun, dan 25 kali daripada asid sulfur. Dengan kepekatan air yang rendah ini, ia amat bermanfaat kepada kita. Apakah yang akan terjadi sekiranya air tadi mempunyai kepekatan yang kurang.
Michel Denton menjawab persoalan ini untuk kita
“ Kesesuaian air mungkin akan berkurangan jika kepekatan lebih rendah. Struktur sistem hidupan kita akan mengalami pergerakan yang jauh lebih hebat di bawah tekanan-tekanan yang memusnahkan sekiranya kepekatan air serendah hydrogen cair. Jika kepekatan air menjadi lebih rendah lagi, struktur-struktur halus dengan mudah akan hancur. dan air tidak akan dapat menampung sebarang struktur mikrioskopik rumit yang kekal. Manakala jika kepekatan air lebih tinggi pula, pergerakan terkawal molekul-molekul makro yang besar dan terutamanya struktur seperti mitokodria dan organ-organ kecil  tidak akan berlaku begitu juga dengan proses  seperti pembahagian sel-sel. Semua aktiviti penting sel akan terhenti. Pembangunan organisma-organisma yang lebih tinggi yang sangat penting yang bergantung kepada kebolehan sel-sel untuk bergerak dan menjalar di sekeliling ketika embriogenesis, juga tidak mungkin berlaku jika kepekatan air hanya sedikit lebih tinggi daripada sepatutnya” Semua hidupan yang mempunyai saiz tubuh lebih daripada suku millimeter mempunyai satu sistem peredaran yang dipusatkan. Ini kerana melebihi saiz tersebut, adalah mustahil untuk zat-zat makanan dan oksigen disebarkan ke seluruh organisma iaitu mereka tidak lagi dapat dibawa terus ke sel dan hasil sampingan mereka juga tidak boleh dinyahkan.
Terdapat banyak sel di dalam tubuh satu organisma, oleh itu adalah perlu untuk oksigen dan tenaga yang dibawa ke tubuh untuk disebarkan (dipam) kepada mereka melalui saluran, begitu juga saluran lain diperlukan untuk membawa keluar bahan buangan. saluran-saluran ini ialah pembuluh darah dan sistem peredaran arteri. Jantung adalah pam yang menggerakkan sistem ini sementara bahan yang dibawanya melalui saluran-saluran ialah cecair yang dipanggil darah yang sebahagian besarnya air. (95% plasma darah – bahan yang tertinggal selepas sel-sel darah, protein dan hormone dikeluarkan ialah air) Kerana itulah kepekatan air adalah sangat oenting untuk fungsi sistem peredaran yang lebih berkesan. Jika air mempunyai kepekatan tar contohnya jantung mungkin dapat mengepamnya, tetapi ia pasti amat sukar dan darah tidak akan sampai kesemua berbilion-bilon kapilari yang bergerak perlahan ke seluruh tubuh kita”. (Rujukan: The Creation Of The Universe by Harun Yahya)
Wahai anak-anak ku, bukankah kenikmatan air yang dijadikan oleh Tuhan tersebut amat mengkagumkan dan sekiranya perubahan berlaku sedikit sahaja, nescaya seluruh kehidupan di dunia ini akan hancur dengan sekelip mata sahaja. Manusia akan mati dalam beberapa saat, manakala tumbuh-tumbuh akan mati seperti padang jarak padang tekukur. Sebutlah nama Allah selalu, ucapkan Alhamdulillah kepadaNya selalu. Tadbburlah tentang kejadian Tuhan Rabbul Jalil dan bacalah Al Quran sekurang-kurangnya 10 ayat sehari
Wahai anak-anak ku bacalah cactitan ini segera. Alasan sibuk adalah kecil sahaja. Kalau sibuk pun bacalah sekejap. Insya Allah dicurahkan kepada kita halawatul iman.
PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/;
Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.


Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.


Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:

Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.


Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.

Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:

1.
Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.


Pokok Krismas Dan Ahlul Kitab

Wahai anak-anak ku, bacalah makalah ini agar jiwa dan fikiran kita lebih terbuka dan yang utama taqwalah kepada tuhan walaupun di mana berada.

Pokok Krismas adalah nama bagi sejenis pokok Spruces dan Silver Firs. Ia berasal dari keluarga Pinus (pine) dan dikenali sebagai Pinus sylvestris yang tumbuh di pergunungan Selatan Eropah. Ia boleh tumbuh sehingga ke altitiude 7,000 kaki dari aras laut.


Sejarah pokok krismas adalah sebagai tanda perayaan lampau di sisi agama nasrani. di negara barat ia mula digunakan pada kurun ke 21 dan di ikuti disebelah timur, tidak pelik pokok ini digunakan oleh agama nasrani kerana lakaran pada dinding piramid jelas menggambarkan firaun telah menggunakan pokok tersebut pada batu ukiran suci agama nasrani di perenggan ketiga yang membicarakan pertarungan kuasa baik dan kuasa jahat. Pokok tersebut ditanam di tepi pantai bagi melindungi peti suci TABUT dan membentuk pokok yang cantik. Pokok ini ditanam untuk meneduh peti suci Tabut dan dianggap pokok suci

Tradisi menghias pohon Krismas berasal dari negara Jerman. Selalunya pokok malar hijau menjadi pilihan, khususnya pokok fir yang tidak gugur daunnya atau pudar wanginya, dibeli dari dusun atau ditebang dari hutan, namun adakalanya pokok buatan menjadi pilihan




Persoalan: 
Adakah terdapat larangan bagi seorang muslim menanam pokok krismas di halaman rumahnya atau pun di dalam rumah. Jika ada apakah  dalil serta nas yang melarangnya.

Jawapan:
Segala Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Sebelum huraian kepada persoalan tersebut marilah kita meneliti dengan cermat beberapa permasalahan di bawah , agar tidak sesuatu hukum itu dikeluarkan secara terburu-buru dan tidak pula kita mengatakan sesuatu terhadap Islam dengan cara yang tidak dituntut. 




Pertama : 
ASAL SETIAP PERKARA KEHIDUPAN DUNIAWI ( YANG TIDAK BERBENTUK IBADAH YANG KHUSUS ) ITU BOLEH DILAKUKAN

Inilah kaedah umum yang dipakai untuk setiap permasalahan duniawi. Lantaran itu para ulama’ dan fuqaha’ telah menyatakan satu kaedah , iaitu :


الأصل في الأشياء الإباحة

Ertinya : Asal tiap-tiap sesuatu ( yang bukan bersifat ibadah khas ) adalah mubah / harus / boleh.


Kaedah ini bukanlah rekaan ulama’ semata-mata ( sbg mana sangkaan sebahagian manusia yang melampau ) , bahkan sebenarnya ia adalah satu kesimpulan  terhadap ayat Allah Ta’ala yang berbunyi :

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاء فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Ertinya : “ Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu “ ~ Ayat 29 : Surah al-Baqarah.

Oleh itu , para ulama’ dan fuqaha’ juga telah menegaskan drp kaedah di atas 
“ Soal ibadah ( yang khas ) tidak boleh dikerjakan kecuali dengan adanya ketetapan syariat daripada Allah Ta’ala. Dan soal adat ( kehidupan / yang tidak bersifat ibadah mutlak / khas / mahdah ) , tidak boleh diharamkan, kecuali dengan adanya larangan yang disebutkan oleh Allah Ta’ala “


Kedua : 
LARANGAN MENIRU-NIRU KELAKUAN ORANG-ORANG YAHUDI & KRISTIAN :


Walaupun asal pada setiap persoalan hidup yang tidak bersifat ibadah khusus itu boleh, akan tetapi di dalam beberapa masalah adat dan kehidupan, ada juga yang disentuh oleh Baginda Rasulullah s.a.w . Di antaranya ialah perintah agar kita tidak meniru-niru gaya-hidup , dan apatah lagi cara beribadah yang dilalui oleh orang-orang yang bukan Islam , khasnya Yahudi dan Kristian . Di antara pesanan Baginda Rasulullah s.a.w itu ialah :

حَدِيثُ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu pasti akan mengikuti sunnah ( cara ) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang dhob sekalipun, kamu tetap akan mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani ? . Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi ? “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim ( rahimahumalLah ) . 


Inilah yang terjadi pada umat Islam , apatah lagi di zaman selepas penjajahan Yahudi dan Kristian ke atas tanah-tanah air umat Islam , pasti ada sedikit-sebanyak cara hidup mereka yang diikuti oleh kita. Lantaran umat Islam itu sendiri sepatutnya sedar dan insaf bahawa mereka mestilah mempunyai syakhsiah ( keperibadian ) dan imej tersendiri , maka Baginda Rasulullah s.a.w pun bersabda lagi seraya memperingatkan kita agar tidak meniru-niru mereka, di antara sabda Baginda s.a.w di dalam soal ini ialah :

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لَا يَصْبُغُونَ فَخَالِفُوهُمْ
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: “ Sesungguhnya orang Yahudi dan orang Nasrani tidak mewarnakan rambut-rambut, jadi berbezalah kamu dengan mereka ! “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim ( rahimahumalLah ) .


عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Ertinya : Daripada Ibnu Umar ( r.a ) . Daripada Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda : “ Berbezalah kamu sekalian dengan orang-orang musyrikin, peliharalah janggut dan nipiskanlah misai “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari ( rh ) di bawah tajuk : Kitab al-Libas ( 5892 ) dan al-Imam Muslim ( rh ) di dalam sahihnya ( 1 / 53 & 54 ). Begitu juga hadist ini dinyatakan oleh al-Imam as-Suyuti ( rh ) di dalam “ al-Jamie’ as-Soghir “ ( 3878 ) .



عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Ertinya : Daripada Ibnu Umar ( r.a ) dia berkata : Baginda RasululLah s.a.w pernah bersabda : “ Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka “ ~ Hadits Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Daud ( rh ) di dalam sunannya ( 4 / 4031 ) , Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya ( 2 / 50 ) dan Imam as-Suyuti di dlm “ al-Jamie’ as-Soghir “ ( 8593 ) . 


Pendek kata , apa –apa hal sahaja yang ada unsur-unsur persamaan di antara kita dengan Yahudi dan Kristian , lebih-lebh lagi di dalam tatacara ibadah yang khusus , maka Baginda Rasulullah s.a.w memerintahkan kita dengan sabdanya :  “ Hendaklah kamu semua berbeza daripada mereka“ .


Ketiga : 
HAKIKAT POHON KRISMAS ITU

Pohon/pokok Krismas ( Christmas Tree ) itu ialah pokok yang kita namakan sebagai “ Pokok Pain “ ( Pine ) . Manakala orang-orang Arab menggelarnya pokok pain itu sebagai  “ Syajarah As- Sonawbar “صَنَوْبَر

Asal-usul pokok pain ini dijadikan sebagai “ pokok Krismas “ yang disucikan oleh orang-orang Kristian adalah merupakan adat kuno masyarakat Jerman. Kisahnya , di zaman dahulu tatkala Jerman diliputi oleh salji yang tebal, masyarakatnya mendapati banyak pokok dan pohon yang mati kecuali pokok pain itu. Masyarakat Jerman Kuno menganggap bahawa matinya kebanyakan pohon / pokok itu adalah disebabkan oleh “ gangguan “ roh-roh jahat “ daripada hantu-syaitan. Lalu , mereka pun membawa balik ataupun menanam pokok / pohon itu di dalam rumah-rumah agar pokok / pohon itu berupaya mengusir “ gangguan-gangguan “ jahat daripada rumah mereka.

Pokok yang meruncing di atasnya itu kemudiannya – di zaman moden – dihiasi pula dengan lampu kelip-kelap , kad-kad ucapan dan sebagainya, demi memeriahkan lagi perayaan Krismas mereka. Di samping itu, di zaman kini juga sudah ada pohon Krismas tiruan .


Selain itu , pokok / pohon tersebut juga ditanam di kawasan luar rumah / sekolah sebagai hiasan dan tidak kurang juga sebagai tanaman pelindung ( pokok pain yang besar ) . Ini dapat kita lihat sendiri , khasnya di kawasan-kawasan sekolah.


Keempat : 
HUKUM BERKAITAN POKOK / POHON KRISMAS ITU

“ Pokok Krismas “ itu asalnya ialah Pokok Pain. Bezanya dengan Pokok Pain ialah pokok pain tidak mempunyai sebarang lampu kelip-kelap dan kad-kad ucapan serta tidak pula disucikan untuk beribadah. Manakala pokok Krismas pula ialah pokok pain yang dihiasi dengan lampu kelip-kelap , kad-kad ucapan dan dipercayai pula mempunyai kuasa dan semangat yang dikaitkan dengan kepercayaan ( Aqidah ) masyarakat Kristian .

Oleh itu , jika seseorang itu menanam ataupun menghiasi rumahnya dengan pokok itu ( Pokok Pain ) , sama ada dengan tujuan sebagai pohon hiasan ataupun pohon pelindung ( daripada cuaca yang panas ataupun angin yang kuat ) , maka TIDAKLAH MENGAPA ( tidaklah berdosa ) .

Jika ianya dijadikan sebagai satu ritual ibadah ( Pokok Krismas ) , ataupun dipercayai ianya mempunyai kuasa untuk menghalau hantu dan mambang , maka kepercayaan ini ->TIDAKLAH BERASAL DARI ISLAM , MALAHAN IANYA ADALAH SATU KHURAFAT KAUM KRISTIAN YANG BERASAL DARIPADA JERMAN KUNO !.

Jika ianya sengaja dihiasi oleh umat Islam itu sendiri di dalam rumah-rumah mereka dengan lampu kelip-kelap ataupun dengan kad-kad ucapan, tanpa adanya sebarang niat untuk meniru-niru tatacara ibadah kaum Kristian -> MAKA PERBUATAN ITU TIDAKLAH SEPATUTNYA DILAKUKAN . Bukankah masih banyak cara untuk menghiasi rumah selain daripada meniru-niru cara masyarakat Kristian itu !? .

Seseorang isteri yang kerap-kali menghiasi rumahnya , khasnya ruang dalaman rumah ( interior ) , tentu akan mendapati bahawa bukannya senang untuk menghiasi rumah dan mengemasnya agar sesuai dengan cita-rasa ahli-ahli rumah itu , khasnya suaminya. Lantaran itu, bukanlah sedikit masa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk mencari ide dan melaksanakannya. ( Dan masa untuk itu tentu akan semakin tidak ada bagi wanita-wanita moden yang sibuk berkerja walhal si suami sendiri mampu menanggung kos hidup dengan mewah ! ) . Walaupun begitu, bukankah lebih baik agar tidak kita terikut-ikut dengan gaya masyarakat Kristian di dalam hal mengemas rumah sehingga perlu kita bertaqlid 100% dengan cara mereka dan sampaikan pokok Krismas pun mahu kita jadikan hiasan rumah !? .

Menghiasi rumah memanglah satu tuntutan agar jiwa para penghuninya aman dan tenteram . Dan ianya pula merupakan salah-satu kewajipan si isteri sebagai salah-cara mengekalkan kerukunan rumah-tangga dan menambat hati si suami. Namun , itu bukanlah alasan untuk dibolehkan sebarang hiasan yang ada kaitannya dengan agama-agama selain Islam sbg mana halnya Pokok Krismas itu.

Kalau hendak ditanam juga, tanam sahajalah pokok Pain itu di luar rumah ataupun di dalam rumah. Tapi , jangan pula ianya dihiasi dengan hiasan-hiasan yang biasa digunakan oleh masyarakat Kristian. Kita bimbang, tujuan asal untuk hiasan itu boleh bertukar pula dengan perasaan bermegah-megah dengan tatacara kehidupan Kaum Kristian .

Umat Islam perlu mengekalkan identiti, jati-diri dan keperibadian mereka. Jangan sampai “ terjajah ‘ lagi !!! .

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
**************************************

RUJUKAN

KAIFA TAD’UU NASRONIAN ILAL ISLAM ? [/color]

Oleh : Kapten Anas Abdul Hamid al-Qauz
Halaman : 82 .
Terbitan : Maktabah al-‘Ubaikan , Riyadh.


2 – HALAL DAN HARAM DI DALAM PANDANGAN ISLAM ( EDISI LENGKAP ) 

Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi ( ha )
Terjemahan Oleh : Al-Fadhil Ustadz Muammal Hamidy ( ha )
Terbitan : PT Bina Ilmu , Surabaya


3 – al-JAMIE’ as-SOGHIR 

Oleh : al-Imam al-Hafiz as-Suyuti ( rh )
Terbitan : Maktabah Nazar Mustafa al-Baz , Riyadh. 


4 – MAUSU’AH al-HADIST asy-SYARIF ( Edisi 1.22 ) 

Sakhr Software Co, Egypt.


5 – HADITS al-BAYAN [/color]

Sakhr Co, Egypt.

 

Friday, December 24, 2010

Iman Seekor Semut.

Subhanallah. Itulah ucapan yang dapat saya katakan mengenai spesies Cycas clivicola yang endemic di Pulau Langkawi. Ini bermakna, spesies ini hanya boleh ditemui di Pulau Langkawi, Malaysia walaupun  ia boleh dijumpai di Selatan Thailand. Juga dikenali sebagai "The Cliff Cycad" bersempena diambil dari nama  latin ‘clivis’ dan ia tumbuh di celah-celah batu kapur (Limes stone cliffs). Namanya baru saja diberikan iaitu lewat tahun 1990an dan sebelum ini ia dikenali sebagai Cycas pectinata atau Cycas siamensis. Keagungan tuhan sebagai pencipta adalah sangat mengkagumkan. Cuba lihat wahai anak-anak ku bagaimana bunga dari pokok jantan dari spesies Cycas clivicola ini kelihatan. Ingatlah kepada tuhan selalu.

Wahai anak-anak ku. Keimanan yang sejati adalah terpahat dalam qalbu. Mohonlah kepada tuhan agar siraman keimanan sentiasa segar di hati mu. Lihatlah bagaiman Nabi Allah Sulaiman terserempak dengan seekor semut yang sedang merayap di atas batu . Kehairanan timbul di dada Nabi Sulaiman bagaimana semut ini dapat hidup dan meneruskan di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan terbentang luas. Lantas . Nabi Allah Sulaiman bertanya kepada semut mengenai makanannya sama ada mencukupi atau tidak . Namun semut dengan penuh keyakinan mengatakan bahawa  rezeki dari ALLAH dan aku  percaya rezeki di tangan ALLAH walaupun berada di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini . Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: ” Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?”

Jawab semut: “Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan”.
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: “Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong”. Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. 

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: “Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah”. Jawab semut: “Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa”.
Itulah Iman Semut berbanding dengan Iman manusia .

Wahai anak-anak ku. Ketahuilah ada 5 perkara yang boleh meningkatkan keimanan seseorang. Perhatilah dan amalkanlah. Doakan juga buat ayahmu. Perhatikanlah....

Pertama: Membaca dan tadabbur (merenungkan atau memikirkan isi kandungan) Al Quranul Karim. Perhatikan Firman tuhan berikut:. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gemetarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya maka bertambahlah iman bereka, dan kepada Rabb mereka itulah mereka bertawakkal.” (QS. Al Anfal [8]: 2)
Al Imam Al Ajurri rahimahullah berkata: “Barangsiapa mentadabburi Al Quran, dia akan mengenal Rabb-nya Azza wa Jalla dan mengetahui keagungan, kekuasaan dan qudrah-Nya serta ibadah yang diwajibkan atasnya. Maka dia senantiasa melakukan setiap kewajiban dan menjauhi segala sesuatu yang tidak disukai maulanya (yakni Allah Ta’ala).“

Kedua: Mengenal Al Asmaul Husna dan sifat-sifat Allah yang terdapat dalam Al Quran dan As Sunnah yang menunjukkan kesempurnaan Allah secara mutlak dari berbagai segi.  Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-Nya adalah ulama.” (QS. Fathir [35]: 28). Al Imam Ibnu Katsir menjelaskan: “Sesungguhnya hamba yang benar-benar takut kepada Allah adalah ulama yang mengenal Allah.” (Tafsir Ibnu Katsir 3/533).

Ketiga: Memperhatikan sirah atau perjalanan hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,.
Al Imam Ibnul Qoyyim rahimahullah menjelaskan: “Dari sini kalian mengetahui sangat pentingnya hamba untuk mengenal Rasul dan apa yang dibawanya, dan membenarkan pada apa yang beliau kabarkan serta mentaati apa yang beliau perintahkan. Karena tidak ada jalan kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan di akhirat kecuali dengan tuntunannya. Tidak ada jalan untuk mengetahui baik dan buruk secara mendetail kecuali darinya.Maka kalau seseorang memperhatikan sifat dan akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam Al Quran dan Al Hadits, niscaya dia akan mendapatkan manfaat dengannya, yakni ketaatannya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjadi kuat, dan bertambah cintanya kepada beliau. Itu adalah tanda bertambahnya keimanan yang mewariskan mutaba’ah dan amalan sholih.”

Keempat: Mengamalkan kebaikan-kebaikan agama Islam. Ketahuilah, sesungguhnya ajaran Islam itu semuanya baik, paling benar aqidahnya, paling terpuji akhlaknya, paling adil hukum-hukumnya. Dari pandangan inilah Allah menghiasi keimanan di hati seorang hamba dan membuatnya cinta kepada keimanan, sebagaimana Allah memenuhi cinta-Nya kepada pilihan-Nya, yakni Nabiyullah Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam (lihat QS. Al Hujurat [49]: 7)
Maka iman di hati seorang hamba adalah sesuatu yang sangat dicintai dan yang paling indah. Oleh karena itu seorang hamba akan merasakan manisnya iman yang ada di hatinya, sehingga dia akan menghiasi hatinya dengan pokok-pokok dan hakikat-hakikat keimanan, dan menghiasi anggota badannya dengan amal-amal nyata (amal sholih). (At Taudhih wal Bayan, hal 32-33)

Kelima: Membaca sirah atau perjalanan hidup Salafush Shalih. Yang dimaksud Salafush Shalih di sini adalah para shahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan orang-orangyang mengikuti mereka dengan baik (lihat QS. At Taubah [9]: 100). Barangsiapa membaca dan memperhatikan perjalanan hidup mereka, akan mengetahui kebaikan-kebaikan mereka, akhlak-akhlak yang agung, ittiba’ mereka kepada Allah, perhatian mereka kepada iman, rasa takut mereka dari dosa, kemaksiatan, riya’ dan nifaq, juga ketaatan mereka dan bersegera dalam kebaikan, kekuatan iman mereka dan kuatnya ibadah mereka kepada Allah dan sebagainya.
Dengan memperhatikan keadaan mereka, maka iman menjadi kuat dan timbul keinginan untuk menyerupai mereka dalam segala hal. Sebagaimana ucapan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah : “Barangsiapa lebih serupa dengan mereka (para shahabat Rasulullah), maka dia lebih sempurna imannya.” (lihat Kitab Al Ubudiyah, hal 94). Dan tentunya, barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.

Amin. Ya Rabbal Alamin.

Catatan buat anak-anak ku.


Pengenalan Hasyiah dari ku

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya mulakan Hasyiah ku dengan menyebut namaMu . Hasyiah ku ini ditujukan buat anak-anak ku agar sentiasa mengingati nama-namaMu agar secebis kacipan ini berharga buat timbangan ku nanti. Insya Allah. Wahai anak-anak ku, bacalah sirah nabawiyyah serta para-para sahabat serta ulamak-ulamak dahulu agar cahaya keimanan sentiasa segar dan memancar serta subur bak munculnya benih Dipterocarpus sarawakensis dari perikarpnya yang keras.  Cintalah flora dan fauna kejadian tuhan. Ingatlah bagaimana telusnya doa seekor semut dengan menelentang dirinya dan kesemua kakinya ke langit mendoakan agar turunnya hujan yang sekian lama tidak turun akibat dosa-dosa manusia. Lantaran tersebut Nabi Allah Sulaiman   mengarahkan umatnya agar pulanglah ke kediaman masing-masing kerana telah terlihat semut telahpun memohon doa kepada tuhan dan sudah pasti Allah mendengar dan memakbulkan doa tersebut. Betul apa yang dikatakan, hujan turun sebaik sahaja doa tersebut dipohon oleh Sang Semut. Itulah peristiwanya wahai anak-anak ku. Buat mukadimah awal, sayangilah flora dan fauna sebagai tanda kebesaran tuhan. Renungilah semua kejadian tuhan tapi janganlah mencari di mana zat tuhan ! Ketemu lagi... cerita keimanan seekor semut semasa berdialog dengan Nabi Sulaiman.